Perikatan mahu jumpa PM isu jawatan timbalan speaker, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis Elill Easwaran

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu ada pandangan sendiri berhubung berhubung cadangan pelantikan tiga timbalan yang dipertua Dewan Rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 30 September, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai pandangan sendiri berhubung cadangan pelantikan tiga timbalan yang dipertua Dewan Rakyat, kata pengerusi parti itu Muhyiddin Yassin.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung cadangan daripada gabungan itu.

“Mesyuarat juga ambil pendirian saya akan bertemu perdana menteri memberikan pandangan yang diputuskan berhubung pelantikan jawatan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat.

“Kita ada pendirian dan akan sampaikan kepada perdana menteri,” kata Muhyiddin kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ahli Majlis Tertinggi PN di ibu negara petang ini.

Muhyiddin bagaimanapun tidak mendedahkan pendirian mereka pada sidang media itu.

Ia menjawab saranan yang timbul agar perlembagaan dipinda bagi menambah bilangan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Timbalan yang dipertua ketiga itu dicadangkan dilantik dari kalangan wakil rakyat pembangkang.

Usaha yang dimulakan itu ditangguhkan ketika persidangan Dewan Rakyat bermula minggu lalu.

Cadangan itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang berkata ia membabitkan pindaan ke atas Perkara 57 (1) (b).

Salah satu daripada dua jawatan sedia ada kini kosong selepas Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said meletak jawatan timbalan yang dipertua.

Setakat ini dua nama disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu – Ahmad Maslan (Pontian) dari blok kerajaan dan Nga Kor Ming (Teluk Intan) dari Pakatan Harapan (PH).

Parti komponen PN bagaimanapun dikatakan tidak menyokong Ahmad dilantik ke jawatan itu kerana ahli Parlimen BN itu menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagaimanapun semalam telah membebaskan kesemua tuduhan terhadap Ahmad selepas beliau bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta.

Ahmad berdepan dua kes pertuduhan, salah satunya gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas Presiden Umno Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Bagi tuduhan kedua, beliau didakwa memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dalam sidang medianya hari ini, Muhyiddin juga berkata, parti PN peringkat nasional yang dilancarkan secara rasmi pada November depan dengan PN Selangor akan menjadi tuan rumah. – 30 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen