PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte pada Rabu mengancam akan melarang ratusan ribu warga Filipina dari bekerja sebagai pembantu rumah di Timur Tengah kerana mendakwa mereka diperkosa di Kuwait.
Lebih 2 juta warga Filipina, kebanyakannya pembantu rumah, bekerja di rantau ini, membantu menaikkan ekonomi Filipina berbilion dolar dengan kiriman wang gaji kepada keluarga mereka setiap tahun.
Minggu lepas, Duterte menghalang rakyat Filipina daripada mencari kerja di Kuwait berhubung laporan penderaan, eksploitasi dan kematian yang semakin kerap, walaupun larangan itu tidak menjejaskan pekerja yang sudah berada di negara Teluk.
“Satu lagi insiden seorang wanita, pekerja Filipina diperkosa di sana, bunuh diri, saya akan hentikannya - saya akan melarang” rakyat Filipina bekerja.
“Dan saya meminta maaf kepada semua rakyat Filipina di sini, mereka semua boleh pulang ke tanah air.”
“Biarkan saya berterus-terang mengenainya kerana Kuwait sentiasa menjadi sekutu, tetapi tolong lakukan sesuatu mengenainya dan bagi negara lain di Timur Tengah.”
Duterte yang sangat marah bercakap sejurus sebelum menaiki penerbangan ke India untuk menghadiri sidang kemuncak serantau.
“Bolehkah saya meminta kepada anda sekarang untuk melayan rakyat saya sebagai manusia dengan cara bermaruah?” tambanya.
Duterte berkata minggu lalu empat rakyat Filipina meninggal dunia di Kuwait sejak beberapa bulan lalu kerana membunuh diri.
Kuwait berkata pada Rabu ia masih menunggu butiran dari Filipina mengenai kes berkenaan dan menyatakan rasa terkejut dengan dakwaan baru Duterte.
“Kami sudah menjelaskan pendirian kami kepada pegawai Filipina terhadap kes-kes yang disebutkan oleh presiden dan meminta mereka segala butiran,” kata wakil menteri luar negara Khaled al-Jarallah.
“Tetapi kami belum menerima sebarang butiran mengenai sebarang kes,” katanya.
Jarallah berkata pekerja Filipina masih dialu-alukan di Kuwait, dan hak pekerja asing dijamin di negara itu.
“Kami menjelaskan kepada negara-negara yang mempunyai pekerja di Kuwait bahawa buruh mereka sangat dihargai dan dialu-alukan ... dan kami mengesahkan yang kehadiran dan kerja mereka dikawal oleh undang-undang,” katanya kepada pemberita.
Setiausaha Luar Filipina Alan Peter Cayetano berkata secara berasingan yang kenyataan Duterte itu susulan laporan baru-baru ini tentang penderaan di Kuwait.
“Statistik tidak berbohong dan ada kebimbangan serius mengenai penderaan di Kuwait,” katanya.
Terdapat lebih 200,000 rakyat Filipina di Kuwait dan sejumlah “besar” terkandas di negara itu, dibayar kurang daripada yang dijanjikan atau didera, kata Cayetano.
Cayetano berkata diplomat Kuwait dan Filipina telah bertemu di kedua-dua negara untuk membincangkan isu itu selepas Duterte mengenakan larangan itu.
“Kami menyuarakan kebimbangan yang sama dan mereka menyatakan kejutan atau terkejut yang kami menggunakan larangan dengan segera,” kata Cayetano.
“Jadi, paling utama ialah kita menghantar mesej ke seluruh dunia.”
Dianggarkan 10 juta rakyat Filipina bekerja di luar negara, dengan destinasi utama negara-negara Timur Tengah yang kaya dengan hasil minyak.
Ramai rakyat Filipina yang menjadi mangsa dera, terlebih kerja, dirogol atau mati dalam keadaan yang mencurigakan di rantau ini telah lama berlegar. – AFP, 25 Januari, 2018.
Komen