Perikatan mula runding kerusi minggu depan tanpa Umno, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis Elill Easwaran

Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin bercakap semasa sidang media mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 September, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) memulakan rundingan kerusi antara parti komponen mereka tanpa melibatkan Umno, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata, Umno juga tidak memberikan sebarang petunjuk sama ada mahu berunding dengan gabungan tersebut berkenaan agihan kerusi mereka.

“Kita tiada dapat gambaran seolah-olah mereka nak bekerjasama atau tidak…saya susah nak cakap walaupun dalam kerajaan kami bersama,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN di ibu negara, petang tadi.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, PN tidak boleh menunggu Umno dan mereka harus segera memulakan rundingan kerusi yang ingin ditandingi parti komponennya.

“Kami belum mendapat indikasi Umno sama ada nak teruskan atau bergerak sendiri.

“PN merasa kami perlu buat keputusan sendiri yang kami rasa penting untuk diputuskan,” kata Muhyiddin.

Menurutnya lagi, PN akan memulakan rundingan kerusi antara lima parti komponen mereka seawal minggu hadapan.

PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (Sapp).

Bagi Semenanjung, Muhyiddin berkata rundingan agihan kerusi hanya libatkan Bersatu, PAS dan Gerakan sahaja.

“Kami ada persefahaman dengan parti Sarawak, untuk semenanjung akan runding antara tiga parti sahaja, Bersatu, PAS, dan Gerakan bagi semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

“Untuk Sabah ada dua parti tambahan kita akan bincang khusus di Sabah untuk kerusi Parlimen sahaja manakala Sarawak nanti akan bincang dengan pimpinan parti Sarawak,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, PN tidak boleh menunggu Umno semata-mata memandangkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin hampir.

“Kita jangka pilihan raya umum diadakan mungkin tahun hadapan, tempoh masa tak lama kalau nak tunggu parti lain buat keputusan, akan terganggu urusan persiapan pilihan raya umum yang nak diatur PN. 

“Apa yang parti lain nak buat atau putuskan kemudian itu keputusan mereka, kita teruskan dengan pembahagian kerusi antara PN sahaja,” tambahnya. – 30 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen