Pendaki Kanada maut di Gunung Manaslu, Nepal


Gunung Manaslu yang merupakan puncak tertinggi kelapan di dunia menjadi tumpuan pendaki luar berusaha untuk sampai ke puncak gunung setinggi 8,163 itu di Nepal. – Gambar EPA, 30 September, 2021.

SEORANG pendaki warga Kanada meninggal dunia di Gunung Manaslu yang merupakan puncak tertinggi kelapan di dunia, kata penganjur ekspedisi hari ini dalam kematian pertama pendakian musim luruh.

Hampir 200 pendaki berusaha untuk sampai ke puncak gunung setinggi 8,163 itu di Nepal.

Brent Seal, 37, dalam perjalanan ke puncak gunung berkenaan dan sudah melintasi Kem 4 pada ketinggian 7,450 meter apabila dia meninggal dunia semalam.

Bodha Raj Bhandari dari Snowy Horizon Treks and Expedition memberitahu AFP bahawa mayat mangsa sudah dibawa keluar ke Kathmandu.

“Mangsa dipercayai mengalami serangan jantung,” katanya.

Ekspedisi musim luruh di Himalaya kurang popular kerana hari yang lebih pendek, sejuk, permukaan gunung bersalji selain puncak yang sempit berbanding musim bunga.

Nepal sudah mengeluarkan 253 permit untuk tujuh puncak – hampir satu pertiga daripada jumlah permit yang dikeluarkan pada musim bunga – tetapi tidak ada untuk Everest yang merupakan gunung tertinggi di dunia.

Lebih 700 pendaki asing mendaki gunung di Nepal pada musim bunga termasuk rekod 408 pendaki untuk Everest, selepas musim tahun lalu dibatalkan kerana wabak koronavirus.

Tetapi musim pendakian yang popular itu berlaku serentak dengan gelombang baharu jangkitan Covid-19 dengan beberapa kes virus itu dilaporkan di beberapa kem pangkalan Himalaya.

Nepal merupakan negara di mana lapan daripada 14 puncak tertinggi di dunia berada dan pendaki asing berlumba-lumba ke sana merupakan sumber utama pendapatan negara tersebut. – AFP, 30 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen