Skandal pakatan sulit Rusia, Trump sedia disoal


Donald Trump sedang disiasat kerana dakwaan mengadakan pakatan sulit dengan Rusia untuk jadi presiden AS serta cubaan halang siasatan. – Gambar AFP, 25 Januari, 2018.

PRESIDEN Donald Trump pada Rabu berkata beliau “suka” untuk disoal siasat secara bersumpah dengan pendakwaraya siasatan kes pakatan sulit Rusia Robert Mueller, mengatakan ia boleh dilakukan dalam masa terdekat.

Trump mengesahkan yang peguamnya sedang berbincang dengan Mueller, yang mengetuai siasatan kemungkinan wujudnya pakatan sulit antara kempen pilihan raya presiden AS dan Rusia pada 2016 serta dakwaan yang Trump cuba menghalang siasatan itu.

“Saya suka nak buat (soal siasat),” kata Trump kepada wartawan di White House apabila ditanya mengenainya.

“Saya hendak buat secepat mungkin…terpulang kepada peguam saya dan perkara-perkara lain.”

“Saya akan buat di bawah sumpah, sudah tentu,” tambahnya.

Apabila ditanya bilakah soal siasat itu akan dilakukan, Trump mengatakan beliau tidak pasti.

“Semalam, kami bercakap mengenai dua atau tiga minggu lagi,” katanya.

Pendakwaraya Khas Mueller dipercayai memberi tumpuan siasatan sama ada Trump secara tidak sah masuk campur dalam siasatan Rusia, terutamanya selepas beliau memecat Pengarah FBI James Corney tahun lepas.

Siasatannya didapati semakin menghampiri White House, kata Peguam Negara Jeff Sessions minggu lepas.

Tetapi bentuk soal siasat dengan presiden perlu dirunding- sama ada secara bersemuka atau dalam bentuk jawapan bertulis atau gabungan keduanya- Trump juga memberitahu wartawan yang beliau akan mendengar nasihat peguamnya tentang perkara itu.

Trump berulang kali menafikan wujudnya salah laku dan mengatakan siasatan Mueller tidak mendatangkan hasil.

“Tiada apa-apa pakatan sulit. Tiada halangan,” katanya pada Rabu.

Ditanya sama ada Mueller akan bersikap adil, beliau menjawab:

“Kita akan tahu tak lama lagi…saya harap begitu.”

Mueller, bekas pengarah FBI dilantik mengetuai siasatan Rusia pada 2017, sudah mengeluarkan empat indikmen untuk empat orang yang terlibat dalam kempen itu.

Beliau sudah mendapat dua pengakuan bersalah daripada bekas Penasihat Keselamatan Negara Michael Flynn dan bekas Penasihat Dasar Asing George Papadopoulos kedua-duanya kerana kesalahan memberi keterangan palsu.

Kedua-duanya dipercayai sudah bersetuju untuk bekerjasama dalam siasatan Mueller. – AFP, 25 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen