Zahid soal PAS, Muafakat Nasional masih ada?


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan sekiranya Muafakat Nasional masih lagi wujud diminta ditanya mengenai keuntungan untuk kekal dalam kerjasama bersama PAS itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2021.

UMNO akan bertanding secara solo bawah panji BN dan hanya akan berunding dengan parti lain selepas pilihan raya umum, kata Presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya Muafakat Nasional masih lagi wujud apabila diminta ditanya mengenai keuntungan untuk kekal dalam kerjasama bersama PAS itu.

“Saya nak tanya, ada ke Muafakat Nasional ini lagi,” katanya ketika ditanya dalam satu wawancara disiarkan portal MyTV Online.

Beliau juga kecewa kerana pengguna Internet menganggap Umno dikhianati dalam kerjasama tersebut.

“Netizen panggil, Umno dikhianati. Saya fikir elok kalau Umno terus bertanding secara solo dengan menggunakan panji BN dan kita fikir elok kerusi ini bebas ditandingi semua.

“Kalaui kita mahu bentuk kerajaan pun selepas parti seluruh negara dapat keputusan. Berapa diperolehi parti itu dan ketika itu mungkin rundingan dapat diadakan,” katanya. 

Ahmad Zahid juga kesal dengan keanggotaan barisan kabinet dipimpin Perdana Menteri baharu Ismail Sabri Yaakob yang merupakan naib presiden Umno.

Umno kembali menjadi parti tonggak kerajaan selepas menggulingkan Perdana Menteri kelapan Muhyiddin Yassin namun Zahid selaku presiden parti tidak dilantik menjadi perdana menteri baharu.

Ahmad Zahid yang kini masih berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah berkata, pemilihan anggota kabinet itu janggal kerana tidak mengikut kedudukan dalam parti.

Namun beliau tetap menghormati hak mutlak Ismail membentuk kabinet tersebut, katanya.

“Mungkin ada perjanjian bertulis atau tidak bertulis yang dibuat dengan seseorang, yang menyebabkan tangan beliau terikat untuk mematuhi perjanjian itu. Maka kita tunggulah PRU15,

“Jika mandat baru diberikan pengundi kepada Umno, maka ketika itu kita akan lihat bahawa pelantikan dibuat mengikut hierarki pemimpin ...” katanya.

Muafakat Nasional dibentuk pada September 2019 selepas Barisan Nasional dan Umno kalah dalam PRU-14.

Gabungan itu merupakan kerjasama antara dua parti bagi menghadapi PRU15 sebelum Perikatan Nasional antara PAS, Umno dan Bersatu ditubuhkan kemudian.

Selepas pembentukan kerajaan baharu bulan lalu, PAS mengumumkan mesyuarat Muafakat Nasional akan diadakan bagi akan membincangkan kedudukan dan hala tuju gabungan itu.

Parti Islam itu berkata demikian dengan hasrat untuk terus mengekalkan kerjasama dengan Bersatu dan juga Umno.– 30 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen