Barangan bantuan kecemasan sumbangan China tiba di Kabul


Afghanistan sedang bergelut masalah ekonomi dan kehidupan rakyat serta amat memerlukan bantuan daripada masyarakat antarabangsa. – Gambar EPA, 30 September, 2021.

BARANGAN bantuan kecemasan sumbangan kerajaan China untuk Afghanistan tiba di Lapangan Antarabangsa Kabul, malam tadi.

Majlis penyerahan sumbangan itu disaksikan Pemangku Menteri Hal Ehwal Pelarian kerajaan sementara Afghanistan Khalil al-Rahman Haqqani dan Duta China ke Afghanistan, Wang Yu.

Wang berkata ketika kerajaan sementara Afghanistan sedang berusaha memulihkan ketenteraman awam dan amat memerlukan sokongan serta bantuan masyarakat antarabangsa.

“China sebagai jiran yang baik sentiasa memberikan perhatian kepada keperluan rakyat Afghanistan,” katanya.

Beberapa mesyuarat mengenai mekanisme pelbagai hala berhubung isu Afghanistan baru-baru ini yang turut dihadiri pemimpin China, mengumumkan dan menyeru masyarakat antarabangsa membekalkan bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan.

Justeru, China mengambil langkah segera menghantar barangan termasuk selimut dan baju sejuk yang amat diperlukan rakyat Afghanistan pada musim sejuk.

Sementara itu, Khalil dalam ucapannya turut menghargai bantuan China itu terutama ketika Afghanistan berdepan situasi getir.

Beliau berkata Afghanistan sedang bergelut masalah ekonomi dan kehidupan rakyat serta amat memerlukan daripada masyarakat antarabangsa.

“Afghanistan akan berpegang kepada janjinya terhadap negara jiran dan masyarakat antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa aset Afghanistan di luar negara yang dibekukan beberapa negara ditarik balik demi kesejahteraan rakyat Afghanistan. – Bernama, 30 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen