Wee pertahan dasar kabotaj, cabar Guan Eng berdebat


Chan Kok Leong Noel Achariam Diyana Ibrahim

Wee Ka Siong bersedia untuk berdebat dengan Lim Guan Eng mengenai isu kerugian pelaburan asing kerana pemansuhan pengecualian kabotaj. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2021.

MENTERI Pengangkutan Wee Ka Siong hari ini mencabar Lim Guan Eng untuk membahaskan dasar kabotaj yang mempengaruhi industri kabel internet bawah laut.

Wee (Ayer Hitam-BN) berkata beliau bersedia untuk berdebat dengan Lim (Bagan-PH) mengenai isu kerugian pelaburan asing kerana pemansuhan pengecualian kabotaj bagi syarikat teknologi tinggi.

“Saya bersedia berdebat dengan Lim. Dulu (Lim) kata saya tidak layak menjadi presiden MCA.

“Saya sekarang mencabar (Lim). Selama satu jam kita boleh berbincang,” katanya kepada Dewan Rakyat.

Lim menerima cabaran daripada Wee dan memintanya untuk menetapkan masa untuk perbincangan.

“Saya menerima cabaran. Tetapkan masa dan saya akan datang.”

Wee berkata demikian sebagai respons kepada Lim, yang bertanya mengenai status kerugian pelabur asing daripada projek Apricot, Facebook dan Google berjumlah RM12 hingga 15 bilion oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Kata Lim, mengikut dasar kerajaan Perikatan Nasional yang menarik balik pengecualian kabotaj bagi syarikat teknologi tinggi yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Lim berkata Wee berada dalam keadaan penafian dan tidak mahu mengakui dasar itu menyebabkan pengaliran keluar pelaburan dari negara ini.

“Ini bukannya daripada pembangkang. Ini datang daripada ketua MDEC Dr Rais Hussin sendiri, yang berkata Wee telah melakukan kesalahan.

“Jika kita salah, kita harus memperbaikinya. Jadi, bolehkah polisi kabotaj ini dibatalkan kerana anda (Wee) berkata ia tiada kaitan?”

Wee menafikan penarikan balik pengecualian kabotaj terhadap kapal membaiki kabel dasar laut menyebabkan kerugian pelaburan asing daripada projek Apricot, Facebook dan Google. – 30 September, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen