Lebih 100 maut pergaduhan dalam penjara Ecuador


Ahli keluarga menunggu di luar penjara Guayaquil, di Guayaquil, Ecuador, pada 29 September untuk mendapatkan maklumat tahanan susulan pergaduhan yang berlaku. – Gambar EPA, 30 September, 2021.

ANGKA kematian akibat pertempuran berdarah antara geng di penjara Ecuador melepasi 100 orang, dengan 52 lagi cedera, kata pihak berkuasa penjara pada Rabu, ketika tentera mengepung kemudahan itu - satu daripada banyak penjara di negara itu yang mengalami kekurangan tenaga kerja.

Tahanan bertempur dengan bersenjata dan bom tangan pada Selasa di kompleks penjara Guayaquil: pergaduhan antara tahanan yang dipercayai ada kaitan dengan geng dadah Mexico - terutamanya kartel Generasi Baru Jalisco dan Sinaloa.

Askar dan sebuah kereta kebal mengawal kompleks pada Rabu ketika polis berkuda yang melakukan rondaan berdepan ahli keluarga tahanan yang risau dengan situasi berlaku.

“Kami mahukan maklumat kerana tidak tahu apa-apa mengenai keluarga, anak lelaki kami,” kata seorang wanita, yang tidak memberikan namanya. “Anak saya ada di dalam.”

Kejadian padaSelasa adalah yang terbaru dalam siri pergaduhan berdarah di penjara yang meragut nyawa kira-kira 180 tahanan di Ecuador setakat tahun ini.

Pihak berkuasa penjara SNAI berkata di Twitter yang kematian “lebih 100” tahanan sudah disahkan, dengan 52 orang lagi cedera.

Sekurang-kurangnya enam dipenggal, menurut pejabat pendakwa raya negara sambil menambah dua pegawai polis cedera dalam operasi untuk mengawal keadaan penjara.

Pegawai diserang oleh banduan dengan senjata.

Presiden Guillermo Lasso mengumumkan di Twitter keadaan darurat, yang membolehkannya menggunakan pasukan awam untuk mengembalikan keamanan.

Lasso berkata beliau akan mengetuai satu jawatankuasa keselamatan di Guayaquil untuk mengawal keadaan darurat, tetapi juga menjamin perlindungan “hak asasi manusia untuk semua yang terlibat.”

Pengambilalihan polis di penjara mencegah “lebih banyak kematian,” kata ketua polis bandar Guayaquil, Fausto Buenano.

Sistem penjara Ecuador menjadi medan perang bagi ribuan tahanan yang mempunyai kaitan dengan geng dadah Mexico yang kuat.

Pada 23 Februari, rusuhan serentak di empat penjara termasuk Guayaquil menyebabkan 79 tahanan mati dengan ada yang dipenggal.

“Terdapat krisis penjara sejak 2010, dengan rata-rata 25 pembunuhan setiap tahun, tetapi ia meningkat dengan pesat dari 2017 kepada kemuncaknya tahun ini,” kata pakar keselamatan Ecuador, Fernando Carrion kepada AFP.

Sistem penjara di Ecuador mempunyai 65 kemudahan yang dirancang untuk kira-kira 30,000 tetapi sebenarnya menempatkan 39,000 tahanan. Terdapat kekurangan kakitangan yang kronik.

Ombudsman hak asasi manusia negara itu berkata terdapat 103 pembunuhan di penjara pada 2020, dengan rasuah yang membolehkan tahanan membawa senjata dan peluru.

Terletak di antara Colombia dan Peru, pengeluar kokain terkemuka di dunia, Ecuador adalah transit utama untuk penghantaran dadah ke Amerika Syarikat dan Eropah.

Guayaquil adalah bandar pelabuhan utama Ecuador.

Antara Januari dan Ogos tahun ini, pihak berkuasa Ekuador menyita kira-kira 116 tan dadah, terutamanya kokain, berbanding 128 tan pada 2020.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Amerika (IACHR) mengecam keganasan yang berterusan di penjara Ecuador. – AFP, 30 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen