Tubuh jawatankuasa khas semak gaji, pencen wakil rakyat, kata Syed Saddiq


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong Noel Achariam

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kerajaan perlu mengkaji semula gaji dan pencen wakil rakyat kerana faedah diterima mereka terlalu tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2021.

KERAJAAN perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji semula perbelanjaan negara melibatkan gaji dan pencen wakil rakyat, kata ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Langkah itu wajar kerana gaji serta faedah yang diterima menteri atau wakil rakyat terlalu tinggi sedangkan rakyat hidup dalam kesusahan.

Ahli Parlimen bebas itu mengambil contoh ada menteri yang menerima RM1 juta hingga RM2 juta daripada bayaran gratuiti yang diberikan kepada mereka jika sudah tamat tempoh perkhidmatan. 

“Apabila menteri diberhentikan, mereka akan menerima bayaran gratuiti sehingga cecah RM1juta-RM2 juta kerana jumlah itu diukur dari tempoh berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, bukan sebagai anggota Kabinet.

“Kalau ahli Parlimen berkhidmat selama empat hingga lima penggal, mereka akan dapat gratuiti menteri sehingga RM1 juta, RM2 juta,” katanya semasa membahaskan pelan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Syed Saddiq mendakwa kerana pencen yang lumayan itu menyebabkan ada ahli Parlimen yang masih tidak mahu bersara walaupun sudah berkhidmat berpuluh tahun.

Presiden penaja Muda turut mencadangkan suatu akta perbadanan politik kerana ramai ahli Parlimen pembangkang yang terpaksa mengeluarkan wang gaji sendiri untuk membayar sewa pejabat dan pegawai.

Dalam perbahasannya, Syed Saddiq juga meminta kerajaan untuk segera berbincang meneliti kelulusan penggunaan hemp atau ganja bagi tujuan perubatan.

Katanya, sudah tiba masa untuk kerajaan meneliti perkara itu segera jika tidak mahu terus ketinggalan dalam industri yang bernilai RM60 bilion itu.

“Dianggarkan dalam tempoh masa 4 tahun lagi, ia akan mencecah RM400 bilion. Kita tak mahu Malaysia ketinggalan lagi hanya kerana ini adalah isu sensitif.

“Mengikut data dan sains, industri arak dan rokok jauh lebih berbahaya dari industri hemp.

“Tetapi kita tidak ada iltizam politik untuk mulakan perbincangan isu ini dengan fakta, sebab itu kita cadangkan tubuh jawatankuasa khas untuk kawal selia industri ini,” katanya. – 29 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen