GEMPA bumi bermagnitud 6.1 melanda pantai barat laut Jepun hari ini namun tiada sebarang amaran tsunami dikeluarkan, kata pihak berkuasa Jepun dan Amerika Syarikat (AS).
Gempa bumi menyebabkan berlaku gegaran di sebahagian besar pantai timur laut dan turut dirasai di Tokyo, namun tiada sebarang kerosakan dilaporkan.
Tinjauan Geologi AS (USGS) memaklumkan bahawa gempa itu melanda pada kedalaman 368 kilometer (km) di Laut Jepun yang dikenali sebagai Laut Timur di Korea.
Agensi meteorologi Jepun berkata, tiada risiko tsunami susulan gempa bumi berkenaan.
Jepun terletak dalam “Lingkaran Api Pasifik” iaitu lengkuk yang menyaksikan aktiviti gempa bumi meluas di Asia Tenggara dan Pasifik.
Negara itu sering dilanda gempa bumi dan mempunyai peraturan pembinaan yang ketat bagi memastikan bangunannya dapat menahan gegaran yang kuat. – AFP, 29 September, 2021.
Komen