Trump perkenal duti import, LG naik harga mesin basuh


Trump pada Selasa memperkenalkan duti import sebanyak 20-50% untuk mesin basuh dibuat China, Korea Selatan, Mexico dan Vietnam. – Gambar AFP, 25 Januari, 2018.

SUBSIDARI LG Elektronik di Amerika Syarikat memberi amaran kepada peruncit pada Rabu yang ia akan menaikan harga mesin basuhnya selepas duti import dikenakan pentadbiran Trump minggu ini.

Ia adalah tindakan pertama kepada langkah perdagagangan diumumkan minggu ini yang menimbulkan kemarahan rakan perdagangan AS.

“Kerana situasi perdagangan sekarang, kami akan memulakan tindakan (menaikan) harga,” kata Thomas Yoon, naib presiden eksekutif peralatan rumah untuk LG Elektronik AS dalam surat kepada peruncit.

Katanya, jumlah kenaikan harga sebenar akan dijelaskan dalam surat lain yang akan dihantar kemudian. Wall Street Journal melaporkan kenaikan harga itu boleh mencecah AS$50 untuk mesin basuh dan pengering pakaian.

Presiden Donald Trump melaksanakan doktrin “Amerika First” pada Selasa dengan mengenakan duti import 20 hingga 50% ke atas mesin basuh dibuat di China, Korea Selatan, Mexico dan Vietnam, serta tarif tambahan untuk panel solar diimport dari China.

Seoul berkata ia merancang membawa isu itu kepada Organisasi Perdagangan Dunia (WTO), dan Beijing pula meluahkan “ketidakpuasan hati kuat” dengan tindakan yang dilakukan untuk melindungi syarikat AS itu.

Tetapi LG memberi jaminan yang bekalan produknya tidak akan terjejas.

“Walaupun berita ini mengecewakan, saya beri jaminan yang kami sudah melakukan perancangan supaya kami boleh minimumkan apa sahaja gangguan bekalan mesin basuh dan pengering LG kepada anda atau rakan kerjasama yang sangat dihargai,” kata Yoon lagi.

Syarikat Korea Selatan itu baru sahaja menyiapkan kilang pemasangan mesin basuh di Clarksville, Tennessee yang dijangka memulakan pengeluaran pada suku terakhir tahun ini. – AFP, 25 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen