“KURUNGAN” enam tahun yang dilalui pengasas WikiLeaks Julian Assange di Kedutaaan Ekuador di London berbahaya kepada kesihatan mental dan fizikalnya, menurut pemeriksaan perubatan yang baru dijalankan.
Dua orang doktor mengumumkan keputusan itu selepas menghabiskan lebih 20 jam dalam tempoh tiga hari Oktober lepas untuk melakukan “penilaian fizikal dan psikologi menyeluruh” terhadap Assange, lapor akhbar The Guardian pada Rabu.
“Walaupun keputusan pemeriksaan itu dilindungi oleh kerahsiaan doktor-pesakit, pada pandangan profesional kami pengurungan berterusannya adalah merbahaya kepada fizikal dan mentalnya, dan pencabulan terang-terangan hak asasinya berkaitan penjagaan kesihatan,” kata mereka dipetik akhbar itu.
Doktor itu- Sondra Crosby, doktor dan professor di Fakulti Perubatan Universiti Boston, dan Brock Chisholm seorang pakar psikologi klinikal London- mengulangi gesaan supaya Assange diberikan jaminan keselamatan untuk dirawat di hospital.
Doktor itu menggesa Persatuan Perubatan Britian dan pihak lain melobi kerajaan UK supaya membenarkan Assange diberikan rawatan kesihatan sewajarnya, tetapi mengakui kebanyakan doktor enggan memasuki kedutaan untuk merawatnya.
“Pemeriksaan kami mendedahkan yang dia tidak mempunyai akses kepada cahaya matahari, pengudaraan sesuai atau ruang terbuka selama lebih lima setengah tahun,” kata mereka lagi.
“Ini memberi kesan besar kepada fizikal dan psikologinya.”
Pada 2016, WikiLeaks mengeluarkan laporan perubatan mendakwa kesihatan mental pengasasnya berdepan risiko jika terus berada dalam kedutaan itu, mengatakan “kemungkinan tinggi” kesihatan mentalnya akan terus terjejas.
Assange berpindah masuk ke dalam kedutaan di London itu pada 2012 untuk mengelak diekstradisi ke Sweden untuk berdepan dakwaan rogol dan serangan seksual.
Pendakwaraya Sweden mengugurkan dakwaan itu pada Mei tahun lepas, tetapi Assange terus kekal dalam kedutaan itu kerana bimbang ditahan kerana melanggar ikat jaminnya.
Dia kini menjadi warganegara Ekuador, tetapi kerajaan Britian mengatakan itu tidak mengubah statusnya sebagai individu dihendaki.
Peguam Negara AS Jeff Sessions tahun lepas mengatakan penahanan Assange adalah “keutamaan” negara itu. – AFP, 25 Januari, 2018.
Komen