Fumio Kishida menang pemilihan presiden LDP


Fumio Kishida (kanan) meraikan kemenangannya bersama Perdana Menteri Yoshihide Suga selepas pemilihan presiden LDP di Tokyo, Jepun, 29 September 2021. – Gambar EPA, 29 September, 2021.

FUMIO Kishida memenangi pemilihan presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), parti yang memerintah Jepun dan bakal menggantikan Perdana Menteri Yoshihide Suga, lapor Xinhua.

Kishida, bekas menteri luar memperoleh 257 undi pada pusingan akhir mengatasi pencabarnya Taro Kono yang mendapat 170 undi.

Memandangkan gabungan diketuai LDP membentuk majoriti  di kedua-dua dewan Parlimen, presiden parti yang baharu hampir pasti dipilih sebagai perdana menteri dalam sidang Parlimen (Diet) luar biasa yang dijadual pada 4 Okt. 

Pada pusingan pertama pengundian, Kishida memperoleh 256 undi manakala Kono dengan 255 undi.

Dua calon wanita iaitu bekas menteri komunikasi Sanae Takaichi dan pemangku setiausaha agung eksekutif LDP Seiko Noda tewas dalam kesemua pusingan. – Bernama, 29 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen