Azalina tak setuju kerajaan rayu kes kerakyatan


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong Noel Achariam

Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said kritik kerajaan kerana merayu keputusan mahkamah berhubung isu kerakyatan anak kepada bapa bukan warganegara di luar Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2021.

AHLI Parlimen Pengerang Azalina Othman Said hari ini mengkritik kerajaan kerana merayu keputusan mahkamah berhubung isu kerakyatan anak kepada bapa bukan warganegara di luar Malaysia.

Beliau tidak faham mengapa kerajaan bersusah payah untuk membuat rayuan sedangkan tidak ada pihak yang rugi jika menerima saja keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya sampai sekarang tak faham kenapa kerajaan dalam isu warganegara baru-baru ini dan Sultan Johor sendiri menyokong supaya hak warganegara diberikan kepada ibu dan anak tapi kerajaan masih nak buat rayuan.

“Saya sampai hari ini tak faham. Saya tak tahu apa ruginya jika luluskan hak kerakyatan,” katanya ketika membahaskan pelan Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12) hari ini di Dewan Rakyat.

Azalina berkata kerajaan seharusnya berlaku adil dan tidak perlu ada diskriminasi dalam isu tersebut.

“Kalau kita nak berlaku adil, saya nak cakap kepada Yang Berhormat Perdana Menteri dan juga kepada sahabat menteri berlakulah adil kepada semua. Kalau ibu tak dapat, bapak pun jangan bagi.

“Tapi ini kenapa ibu tak boleh, bapa boleh, ini yang saya tak faham seolah-olah wanita di Malaysia ini adakah banyak kurangnya daripada lelaki di Malaysia,” katanya.

Minggu lepas, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata kerajaan akan meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia berkahwin dengan pasangan warga asing.

Katanya, keputusan itu diambil bagi mengelak kerajaan dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September lepas memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Dalam perbahasannyaAzalina turut membidas Menteri Wanita Keluarga dan Masyarakat Rina Harun mengenai kelemahan menangani isu dan jenayah penderaan terhadap kanak-kanak.

Beliau berkata kes jenayah dan penderaan terhadap kanak- kanak merupakan isu serius terutama ia semakin menjadi-jadi semasa pandemik Covid-19 yang memerlukan perkara itu ditangani dengan segera.

Namun Azalina berkata Rina seolah tidak berbuat apa-apa termasuk untuk cuba menubuhkan mahkamah khas seksual kanak-kanak yang pernah dicadangkannya semasa menjadi menteri dulu.

“Masa saya jadi menteri saya nak wujudkan mahkamah sesyen di semua negeri. Kerajaan dah setuju tapi sampai hari ni tak buat-buat.

“Ini dengan Covid-19, berapa banyak kes anakanak didera di rumah. Berapa kes anakanak jadi mangsa jenayah, nak bawa ke mana kes ini.

“Kalau setakat nak jadi menteri ini pun tak boleh selesai, tak payahlah jadi menteri,” katanya. – 29 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen