Ahmad Maslan tidak hilang kelayakan tanding pilihan raya, kata peguam


Ahmad Maslan dituduh gagal isytihar RM2 juta diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak, yang dipercayai hasil aktiviti menyalahi undang-undang, dan memberi kenyataan palsu kepada SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2021.

AHMAD Maslan tidak hilang kelayakan bertanding pilihan raya walaupun membayar kompaun RM1.1 juta sebagai penyelesaian terhadap dua pertuduhan jenayah yang dihadapinya di mahkamah, kata peguamnya.

Jaminan itu diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa penyelesaian kes dirundingkan dengan pihak Jabatan Peguam Negara, sejak awal tahun ini, kata Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq.

“Jawapan yang positif ini yang membawa kepada keputusan anak guam (Ahmad) untuk menilai pembayaran kompaun sebagai jalan penyelesaian yang terbaik bagi kes terhadap beliau,” kata firma itu dalam satu kenyataan media.

Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq juga menjelaskan kompaun berkenaan bukan satu pengakuan bersalah, sebaliknya dibuat mengikut proses undang-undang yang telus dan teratur.

“Proses penyelesaian ini adalah semata-mata bagi tujuan kes ini dan tiada sebarang kaitan dengan apa-apa faktor politik atau luaran dan tidak melibatkan mana-mana orang atau agensi lain selain agensi siasatan dan agensi pendakwaan yang terlibat,” tambahnya.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya sekiranya disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000. 

Dalam kenyataannya, Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq mendedahkan proses penyelesaian itu mengambil masa hampir setahun sebelum direkodkan di mahkamah hari ini.

Ia juga memperincikan komunikasi antara mereka dengan pihak SPR, sehingga membawa kepada penarikan balik kes.

Mereka mengirim surat kepada SPR pada 4 Februari 2021 bertanyakan status Ahmad sebagai ahli Parlimen dan kelayakan bertanding pilihan raya sekiranya membayar kompaun.

SPR kemudian memaklumkan mereka perkara itu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Surat jawapan daripada SPR berkenaan inkuiri kami di atas dijawab pada 5 Mei 2021 dengan jawapan yang positif bahawa anak guam dalam membuat pembayaran kompaun (bukan denda mahkamah) tidak akan menjejaskan kelayakannya sebagai ahli Parlimen dan tidak akan hilang kelayakan untuk bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang,” kata firma itu.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas dan melepaskan Ahmad daripada kedua-dua tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak, yang dipercayai hasil aktiviti menyalahi undang-undang, dan memberi kenyataan palsu kepada agensi antirasuah.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap setiausaha agung Umno susulan persetujuannya membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, semalam.

“Penyelesaian ini adalah satu penyelesaian yang menang-menang bagi semua pihak dan seiring dengan undang-undang,” kata peguam bela Ahmad.

Menurut firma itu, setiausaha agung Umno sudah melunaskan pembayaran kompaun tersebut “bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan.” – 29 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen