38% wanita pembuat keputusan di sektor awam, kata timbalan menteri


Chan Kok Leong Noel Achariam Diyana Ibrahim

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyokong sebarang bentuk usaha meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang kepimpinan termasuk sebagai pembuat keputusan, kata timbalan menterinya Siti Zailah Mohd Yusoff berkata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2021.

SEBANYAK 38.2% wanita terlibat dalam bidang kepimpinan termasuk sebagai pembuat keputusan di sektor awam, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff.

Jumlah tersebut berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam tahun lalu, katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Manakala di sektor swasta pula baru sebanyak 25.8%, berdasarkan keanggotaan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di 100 syarikat tersenarai awam.

“Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyokong sebarang bentuk usaha meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang kepimpinan termasuk sebagai pembuat keputusan,” katanya.

Siti Zailah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Nor Azrina Surip (Merbok-PH) berkenaan usaha kerajaan untuk menambah perwakilan wanita di Parlimen, serta rancangan jangka panjang supaya sasaran sekurang-kurangnya 30% wanita sebagai pembuat keputusan tercapai.

Berkenaan penyertaan wanita dalam bidang politik pula, Siti Zailah berkata hanya 15% atau 33 daripada 220 ahli Parlimen adalah golongan tersebut.

“Di Dewan Negara sekarang ini juga, hampir 15% iaitu lapan wanita daripada 53 ahli Dewan Negara yang mana ada 17 kekosongan,” kata ahli Parlimen Rantau Panjang itu.

Usaha bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam politik termasuk menjadi ahli Parlimen katanya adalah tanggungjawab setiap ketua parti politik. – 29 September, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen