SEKURANG-KURANGNYA 24 tahanan terbunuh dalam pertempuran antara banduan yang dilengkapi senjata api dan bom tangan di sebuah penjara di Guayaquil, Ecuador, kata pegawai pada Selasa.
Biro penjara nasional (SNAI) mengesahkan jumlah kematian dalam satu kenyataan dan mengemas kini jumlah kepada 48 orang berbanding 42 sebelum ini.
Komander polis wilayah, Jeneral Fausto Buenano berkata jumlah korban termasuk tahanan yang ditembak mati dan maut akibat bom tangan yang meletup.
Sistem penjara Ecuador menjadi medan pertempuran antara tahanan yang mempunyai kaitan dengan geng dadah Mexico - terutamanya kartel Generasi Baru Jalisco dan Sinaloa.
Guayaquil, bandar pelabuhan utama Ekuador, adalah hab utama penghantaran kokain Amerika Selatan ke utara, terutamanya Amerika Syarikat.
Minggu lalu, polis merampas beberapa senjata api seperti pistol, peluru, bom tangan dan pisau di sebuah penjara Guayaquil.
Dua minggu lalu, Penjara No. 4 Guayaquil diserang oleh dron, yang merupakan sebahagian daripada “perang antara kartel antarabangsa,” kata pihak berkuasa penjara. Tiada korban terlibat dalam serangan itu.
Sistem penjara Ecuador mempunyai sekitar 60 kemudahan bagi 29,000 tahanan, tetapi terbeban kapasiti yang berlebihan serta kakitangan tidak mencukupi.
Ombudsman hak asasi manusia negara itu berkata terdapat 103 pembunuhan di penjara pada 2020.
Sebanyak 27 tahanan mati dalam rusuhan penjara di dua penjara pada Julai, dalam kejadian yang memaksa kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat. – AFP, 9 September, 2021.
Komen