Pakatan serang kubu MCA hujung minggu ini


Chan Kok Leong Ooi Choong Han

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mengatakan PH akan melancarkan pusat pilihan raya di Ayer Hitam pada petang Ahad. Di sebelah malamnya pula, ceramah PH akan diadakan di Bentong. Kedua-dua kerusi itu kini dipegang pemimpin tertinggi MCA. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Januari, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) akan melancarkan kempen “100 Hari Menjelang PRU14” hujung minggu ini dengan siri ceramah bermula di Gelang Patah, Johor, sebuah kawasan Parlimen yang kini dikuasainya, sebelum masuk menyerang kubu MCA dalam usaha terang-terangan mahu menumbangkan parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) itu.

Ceramah pada Sabtu malam di Skudai, yang terletak dalam kawasan Parlimen Gelang Patah yang diwakili oleh Lim Kit Siang akan turut membariskan Timbalan Presiden PH, Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu serta Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Keesokan harinya, pada Ahad, PH akan masuk ke “kubu lawan” dengan acara yang diatur bersusun di kawasan yang disandang oleh MCA: Ayer Hitam dan Bentong, Pahang.

Dua kerusi itu disandang oleh dua pemimpin utama MCA – Bentong diwakili oleh Presidennya Liow Tiong Lai sementara Ayer Hitam oleh Timbalan Presiden Wee Ka Siong.

Menurut Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, PH akan melancarkan pusat pilihan rayanya di Ayer Hitam pada pukul 5.30 petang Ahad, sebelum mengadakan ceramah menjelang PRU14 di Bentong pada sebelah malamnya.

Ceramah di Skudai dan Bentong itu akan disertai oleh trak Ubah milik DAP.

“Pusat pilihan raya Ayer Hitam akan dirasmikan oleh Mohamad Sabu dan Lim manakala ceramah di Bentong akan menampilkan beberapa pemimpin kanan DAP,” kata Liew.

Kerusi milik Presiden MCA Liow Tiong Lai (kanan) dan Timbalan Presiden Wee Ka Siong (kiri) kini menjadi sasaran Pakatan Harapan dalam usaha terang-terangan melumpuhkan parti kedua terbesar Barisan Nasional itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2018.

Sasaran

PH menyasarkan beberapa kerusi “lemah” yang kini dipegang oleh BN, dan Bentong adalah antara kerusi dalam senarai paling atas dalam bidikannya.

“Kalau mahu melawan BN, lebih baik kita mula dengan kerusi seperti di Bentong,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, Liow nyaris kalah kepada Wong Tack, aktivis alam sekitar yang terjun ke lapangan politik, dengan 379 undi atau lebih kurang 0.6%.

Menteri pengangkutan itu meraih 25,947 undi berbanding Wong yang dapat 25,568 undi. Kawasan itu mempunyai 45% pengundi Melayu, 44% Cina dan 9% India.

PH juga percaya ia mampu membuat kejutan di Ayer Hitam, kubu tradisi BN, kata sumber dalaman gabungan pembangkang itu.

Dalam satu tinjauan baru-baru ini, seorang pengundi di kawasan itu memberitahu The Malaysian Insight “letak botol kicap pun” BN boleh menang di Ayer Hitam.

Namun PH mengingatkan jangan ambil mudah saingannya pada PRU14 nanti kerana jumlah pengundi yang memilih Wee pada 2013 hanyalah separuh daripada mereka yang mengundi BN pada pilihan raya umum lima tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengalahkan calon PAS Hu Pang Chaw dengan majoriti selesa 7,310 undi, merosot daripada majoriti 13,909 yang diperolehinya pada PRU12.

Kerusi itu mempunyai 56% pengundi Melayu, 38% Cina dan 4% India.

PH memberi mandat kepada DAP untuk bertanding di kerusi itu tetapi sumber memberitahu rundingan masih lagi berjalan dan ada kemungkinan Amanah akan menurunkan calonnya untuk melawan Wee.

“Masih belum ada kata putus tetapi Amanah ada beberapa pemimpin yang bagus yang boleh dimajukan di Ayer Hitam. Ada beberapa nama yang disebut antaranya Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai) dan Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam), yang juga anak Johor.

“Malah ada juga cadangan supaya diletakkan calon dari DAP bertanding di Ayer Hitam,” kata Liew. – 25 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • MCA dilihat sudah bersedia menghadapi segala mcm kemungkinan bg menghadapi sebarang serangan yg dibuat oleh PH..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan

  • Paku keranda yang terakhir untuk parti BN yang tak berguna.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Shovel Nose · Ulasan

  • Gasak jgn x gasak

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan