LAHAR gunung berapi yang meletus di Kepulauan Canary sudah sampai di laut, kata pakar gunung berapi, membangkitkan kebimbangan gas beracun yang bakal dihasilkan ketika ia mencecah air.
Kerajaan daerah kepulauan Sepanyol mengisytiharkan zon larangan sejauh dua batu nautika di mana lahar dijangka memasuki Atlantik dan meminta penduduk berdekatan tidak keluar rumah.
“Aliran lahar sudah sampai ke laut di Playa Nueva,” kata Institut Gunung Berapi Canary Islands (Involcan) di Twitter pada Selasa malam.
Gunung berapi La Cumbre Vieja, di La Palma, sebuah pulau dengan 85,000 penduduk, meletus pada 19 September, memuntahkan lahar yang perlahan-lahan mengalir ke laut.
Penduduk di beberapa kawasan di Tazacorte, kampung berdekatan pantai, diberitahu pada Isnin agar tidak keluar rumah bagi mengelakkan bahaya kesan pembebasan gas beracun yang boleh berlaku akibat reaksi antara lahar dan air.
Penduduk dinasihatkan tinggal di rumah kerana “kemungkinan ada kejutan kecil ketika magma memasuki air laut, dan kejutan kecil ini menyebabkan wap yang boleh menjadi toksik,” tegas Miguel Angel Morcuende, pengarah teknikal Kepulauan Canary Pelan Kecemasan Gunung Berapi (Pevolca).
Pakar berkata kemasukan lahar ke dalam air laut akan menghasilkan gas beracun, menyebabkan letupan dan pecahan batu cair seperti tembakan.
“Penyedutan atau kontak dengan gas asid dan cairan boleh merengsakan kulit, mata dan saluran pernafasan, dan menyebabkan kesulitan bernafas, terutama individu yang mempunyai penyakit pernafasan,” kata Involcan.
Keadaan bencana alam diisytiharkan di pulau itu, apabila lahar setakat ini membakar lebih 258 hektar tanah dan memusnahkan 589 bangunan, menurut Kesatuan Eropah Program Pemerhatian Bumi Copernicus.
Kerajaan pada Selasa awal meluluskan AS$12.3 juta bantuan untuk mangsa khususnya untuk membeli rumah bagi mereka yang kediaman mereka terkena lahar.
Letusan itu memaksa pemindahan lebih 6,000 orang dari kediaman mereka tetapi setakat ini tiada nyawa terkorban atau yang cedera.
Penduduk Pulau La Palma bergantung hidup dengan hasil penanaman pisang dan pelancongan. – AFP, 9 September, 2021.
Komen