B40 rayu sertakan bantuan tunai bersama pakej penjagaan Covid-19


Elill Easwaran

Golongan B40 berkata bantuan tunai lebih penting kerana kebanyakan mereka hilang sumber pendapatan atau gaji mereka dipotong sehingga sukar untuk menanggung keluarga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2021.

GOLONGAN berpendapatan rendah merasakan bantuan kewangan dari kerajaan lebih penting untuk kelangsungan hidup mereka berbanding pakej penjagaan Covid-19 yang diumumkan Putrajaya akan diedarkan tidak lama lagi.

Mereka dari kumpulan B40 yang ditemui The Malaysian Insight berkata apa yang penting kepada mereka adalah bantuan tunai untuk membantu dalam perbelanjaan harian mereka dan membayar bil.

Mereka bagaimanapun berkata tetap bersyukur dengan pakej penjagaan Covid-19, namun masih mencari penyelesaian untuk masalah kewangan yang dihadapi.

Kebanyakan mereka hilang sumber pendapatan atau gaji mereka dipotong dan sukar untuk mereka menanggung keluarga.

Mereka mengulas kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu bahawa kerajaan akan mengagihkan pakej penjagaan Covid-19 termasuk kit ujian pantas dan oksmeter kepada keluarga B40 kerana Malaysia memasuki fasa endemik.

Pakej bernilai RM471.6 juta itu menyasarkan untuk membantu mengurangkan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah dan melindungi mereka daripada koronavirus.

Katanya, inisiatif ini akan dimulakan dengan keluarga yang merupakan penerima program bantuan tunai kerajaan, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Golongan berpendapatan rendah dari skim perumahan kos rendah di Lembah Klang bagaimanapun berkata penyelesaian jangka panjang adalah bantuan kewangan yang lebih bermanfaat kerana kebanyakan komuniti B40 adalah mereka yang memperoleh gaji harian atau hilang pekerjaan kerana pandemik.

Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Yee berkata bantuan kewangan adalah sesuatu yang mesti diberikan oleh kerajaan kepada komuniti B40.

“Kebanyakan daripada kami hilang pekerjaan dan kami hampir tidak dapat menyediakan makanan. Itulah sebabnya bantuan kewangan lebih penting.

“Saya berterima kasih atas bantuan yang diberikan tetapi pada masa seperti ini, perkara terakhir yang saya bimbangkan adalah memakai topeng muka,” kata Yee yang hilang pekerjaan sebagai kerani baru-baru ini.

Yee berkata kini sudah sampai tahap yang mana orang harus memilih sama ada mereka ingin membayar bil mereka atau membeli makanan.

“Sudah pasti keutamaan diberikan untuk makanan tetapi berapa lama lagi saya perlu berhutang dengan orang atau bank,” katanya

Ridzuan Abdullah, 59 tahun berkata, bantuan kewangan diperlukan terutama bagi orang sepertinya yang mendapat gaji harian.

“Kerajaan juga harus melihat mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik kerana mereka akan orang yang paling menderita di masa-masa sukar ini,” kata Ridzuan, yang merupakan penghantar surat pejabat.

Menurutrnya bantuan kewangan akan membantu mereka menjaga keluarga, termasuk mampu mencegah dan merawat Covid-19.

Ridzuan berkata, paket penjagaan Covid-19 itu bagus tetapi jumlah alat ujian kendiri dan pelitup muka mestilah sama dengan bilangan individu di setiap isi rumah.– 29 September, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen