Putrajaya nafi RM2 bilion dibelanja untuk buku RMK12 


Chan Kok Leong Noel Achariam Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed menafikan dakwaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bahawa RM2 bilion dibelanja untuk penyediaan buku RMK12.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2021.

KERAJAAN tidak membelanjakan sebanyak RM2 bilion untuk menyediakan laporan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kata Mustapa Mohamed.

“Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM) tidak pernah membelanjakan wang sebanyak RM2 bilion untuk menyiapkan buku RMK12 seperti yang didakwa oleh Anwar Ibrahim,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi) dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar membuat dakwaan itu ketika membahaskan RMK12 di Parlimen hari ini.

Beliau mendakwa RMK12 dirancang oleh pegawai EPU dan semua input diperoleh daripada bengkel dan perundingan.

“Penyediaan RMK12 melibatkan kos yang amat kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan perunding media.

“Saya berharap Datuk Seri Anwar dapat memperbetulkan kenyataan beliau,” kata ahli Parlimen Jeli.

Terdahulu hari ini, Anwar mendakwa lebih RM2 bilion dibelanjakan kerajaan untuk konsultan asing bagi membantu menyiapkan buku RMK12, yang dibentakngkan kerajaan di Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya peruntukan itu sepatutnya diberikan kepada pakar dalam negara untuk menjalankan kajian yang perlu, terutamanya berkaitan kemiskinan, dalam menyediakan dokumen berkenaan. – 28 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen