PAS gesa Putrajaya tarik balik tambahan cabutan khas 4D


Chan Kok Leong Noel Achariam Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata sebarang bentuk perjudian akan memberi kesan jangka pendek dan panjang terhadap keberkatan hidup rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2021.

PUTRAJAYA tidak boleh membenarkan lebih banyak cabutan khas 4D kerana ia akan berdepan “tentangan lebih hebat” dari dalam dan luar Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari. 

Menurutnya sebarang bentuk perjudian akan memberi kesan jangka pendek dan panjang terhadap keberkatan hidup rakyat.

“Tak perlu kerajaan meningkatkan cabutan judi. Ini satu langkah yang terbalik.

“Tiba-tiba kita naikkan kadar cabutan judi daripada lapan kali kepada 22 kali setahun. Kerajaan wajib tarik balik langkah ini,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Minggu lalu, kerajaan dilaporkan memberi kebenaran kepada syarikat perjudian untuk kadar kekerapan cabutan khas nombor ramalan ditingkatkan kepada 22 kali setahun.

Pada 20 September dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kerajaan meluluskan kesemua 22 permohonan untuk cabutan khas tahun ini. 

Fadhli berkata walaupun ada yang mengatakan pendapatan daripada judi digunakan untuk perkara lain, judi tidak boleh ada kenaikan cabutan khas.

“Walaupun ada hujah yang mengatakan bahawa pendaoatan daripada judi ini digunakan untuk kegunaan tertentu, walau apa pun hujah, judi tidak boleh dinaikkan kadar cabutan. 

Beliau berkata masih ada banyak cara lain untuk kerajaan meningkatkan pendapatan mereka. 

Ini katanya termasuk memperkenalkan cukai keuntungan modal ke atas saham dan meningkatkan cukai korporat sebanyak 1%. – 28 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen