GREECE akan membeli tiga kapal perang daripada Perancis sebagai tanda kerjasama strategik dua negara berkenaan dalam menjaga kepoentingan bersama di Laut Mediterranean, kata Presiden Perancis Emmanuel Macron.
“Pembelian itu menandakan langkah pertama ke arah autonomi strategik Eropah,” kata Macron pada majlis menandatangani perjanjian bersama Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis di Istana Elysee.
Beliau menyifatkan keputusan Greece untuk membeli kapal Belharra itu sebagai tanda keyakinan negara berkenaan terhadap industri pertahanan Perancis, berbanding pesaingnya Lockheed Martin dari Amerika Syarikat, menurut laporan.
Perjanjian itu juga menandakan isyarat dari Paris setelah kehilangan kontrak berbilion-euro untuk kapal selam dengan Australia, yang mengumumkan akan menandatangani perjanjian untuk kapal selam berkuasa nuklear dari AS.
Macron telah lama menegaskan bahawa Eropah perlu mengembangkan kemampuan pertahanannya sendiri dan tidak lagi bergantung pada Amerika Syarikat.
“Hari ini adalah hari bersejarah bagi Greece dan Perancis. Kami telah memutuskan untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala kami,” kata Mitsotakis.
Katanya perjanjian itu melibatkan sokongan bersama dan tindakan bersama di semua peringkat, walaupun tidak ada butiran mengenai kontrak kewangan yang diberikan.
Tambah Mitsotakis, perjanjian Perancis tidak akan mempengaruhi perjanjian kerjasama pertahanan yang sedang dibincangkan antara Greece dan AS, walaupun ketegangan tercetus antara EU dan Washington berhubung kapal selam Australia. – AFP, 28 September, 2021.
Komen