Penyambung terminal 5G di China melebihi 400 juta


Seorang pekerja sedang membuat kerja pemasangan antena 5G di atas bumbung sebuah bangunan di Hong Kong, China. – Gambar EPA, 28 September, 2021.

EKSPO Maklumat dan Telekomunikasi Antarabangsa China 2021 membuka tirainya di Beijing pada Isnin.

Bertemakan “Inovasi Menerangi Masa Depan Pendigitalan”, eskpo tersebut mempamerkan teknologi baharu dan penggunaannya dalam bidang maklumat serta telekomunikasi.

Pameran itu turut menyediakan ruang pameran khusus untuk bidang 5G yang sering mendapat perhatian termasuk penggunaan inovatif serta penyertaan pelbagai syarikat besar bagi memberi peluang kepada peserta menghayati pembaharuan yang dihasilkan 5G dalam pelbagai bidang.

Naib Menteri Industri dan Maklumat China, Xin Guobin dalam ucapan perasmiannya berkata teknologi maklumat dan telekomunikasi dengan ekonomi sebenar China telah disepadukan secara mendalam manakala transformasi industri ke arah digital sedang dipercepat.

China sudah melengkapkan rangkaian gentian optik dan 4G paling besar di dunia, selain perkembangan pesat penggunaan komersial rangkaian 5G.

Setakat Ogos lalu, pembinaan stesen pangkalan 5G sudah melebihi 1 juta atau 70% daripada jumlah keseluruhan dunia.

Pada masa sama, jumlah penyambung terminal 5G pula melebihi 400 juta, manakala lebih 99% kampung di seluruh China mempunyai akses rangkaian jalur lebar, sekali gus menyumbang kepada pencapaian China dalam usaha pembasmian kemiskinan. – Bernama, 28 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen