Projek uCustoms Jabatan Kastam gagal, rugi RM273 juta, kata Ketua Audit


Chan Kok Leong Noel Achariam Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Projek uCustoms yang sepatutnya disiapkan dalam tempoh dua tahun, dilanjutkan sampai tujuh tahun dua bulan, namun masih gagal disiapkan, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2021.

PEMBANGUNAN sistem uCustoms Jabatan Kastam gagal disiapkan, sekali gus mengakibatkan kerugian RM272.99 juta wang pembayar cukai, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019.

Perkara ini terjadi walaupun tujuh tahun dua bulan (86 bulan) setelah lima pelanjutan masa (EOT) diberikan, kata laporan itu.

Laporan audit semua kementerian dan agensi kerajaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini turut menyebut projek itu sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun iaitu pada 24 Oktober, 2015, namun tetap gagal.

“Sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 telah dikenakan.

“Notis kenaan LAD berjumlah RM3.94 juta telah dikeluarkan pada 31 Disember 2020 bagi EOT 3 dan EOT 4 kepada Syarikat 374044-H,” kata Ketua Audit Negara.

Semakan terhadapan laporan sebelum ini menunjukkan syarikat Brilliance Information Sdn Bhd ditugaskan merancang penyelesaian IT untuk jabatan tersebut.

Selain Jabatan Kastam, klien lain yang disenaraikan dalam laman web itu termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Bank Agro, kerajaan negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia, PR1MA, Mampu, Jabatan Peguam Negara, Mara, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Tabung Haji.

Kekurangan

Dalam laporan itu, Ketua Audit Negara menyenaraikan 18 kelemahan yang membabitkan projek uCustoms, iaitu:

  1. Kelewatan penyiapan komponen dan release pembangunan sistem uCustoms.
  2. Sebanyak 1,056 (27.2%) daripada 3,876 deliverables sahaja yang telah diterima oleh JKDM.
  3. Hanya tiga daripada 70 modul utama yang berjaya disiapkan sepenuhnya dan beroperasi.
  4. Release 2 dan Release 3 telah go live sebelum User Acceptance Test (UAT) selesai dilaksanakan.
  5. Sijil UAT bagi Release 1, Release 2 dan Release 3 telah lewat ditandatangan antara 238 hari hingga 933 hari.
  6. Kelewatan pelaksanaan go live.
  7. Kajian Kemungkinan tidak dijalankan sebelum pembangunan sistem uCustoms dilaksanakan.
  8. Kelemahan proses bayaran di mana 13 baucar bayaran berjumlah RM64.89 juta tidak dapat disahkan kerana dokumen lengkap tidak dilampirkan.
  9. Pemilihan pembekal yang tidak mengambil kira penilaian dan laporan yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal.
  10. Produk Commercial Off-The-Shelf (COTS) yang digunakan pembekal melibatkan customization tinggi iaitu memerlukan 70% customization dan 30% configuration yang tidak selaras dengan jadual pematuhan tender uCustoms.
  11. Syarikat yang dilantik sebagai perunding kurang berjaya memainkan peranan sebagai Pejabat Pengurusan Projek (PMO).
  12. PMO tidak menyedia, mengemas kini dan menyimpan fail pengurusan projek (softcopy/hardcopy) secara berpusat.
  13. Kelemahan dari segi kemampuan dan kecekapan kakitangan pembekal sedia ada.
  14. Kadar pusing ganti tinggi di kalangan pegawai kanan pasukan pembekal uCustoms.
  15. Enam kontrak telah lewat ditandatangan antara 58 hari hingga 204 hari.
  16. Kelemahan tadbir urus pembangunan sistem di mana kekerapan mesyuarat adalah tidak mengikut ketetapan dalam Terma Rujukan (TOR) Jawatankuasa Pemandu Projek uCustoms (JKPuc) dan Jawatankuasa Teknikal Projek uCustoms (JTPuC).
  17. Kawalan fizikal dan persekitaran didapati sebanyak 16 unit Televisyen Litar Tertutup (CCTV) rosak sejak tahun 2018 manakala empat unit Door Access Reader yang ditempatkan di pintu masuk Pusat Data turut rosak.
  18. Change Control Board (CCB) mengambil masa antara dua hingga 776 hari dari tarikh terima dokumen untuk memperaku change request (CR).

Cadangan

Bagi mengatasi kelemahan tersebut, Ketua Audit Negara berkata Jabatan Kastam perlu membuat penilaian komprehensif terhadap sistem IT yang ada sebelum pembangunan sistem baharu dibangunkan.

“Jabatan Kastam juga perlu mewujudkan tadbir urus projek yang mantap agar kemajuan sebenar, pelaksanaan go live sistem, pembangunan modul, deliverables serta pembayaran kemajuan diberi perhatian dan tindakan sewajar diambil.

“Ia juga perlu memastikan pelaksanaan projek mengikut terma kontrak yang telah dipersetujui dan dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan sistem dapat dibangunkan mengikut spesifikasi yang dikehendaki dan mencapai objektif yang telah ditetapkan,” kata Ketua Audit Negara.

Tambahnya Jabatan Kastam juga harus menjaga dokumentasi projek yang tepat dan memastikan kod sumber untuk sistem-sistem tersebut menjadi hak milik kerajaan Malaysia.

“Ini supaya mengelakkan kebergantungan Kerajaan sepenuhnya kepada pembekal bagi tujuan menyiapkan pembangunan dan penyenggaraan sistem pada masa hadapan,” kata Ketua Audit Negara.

Ubiquitos Customs atau uCustoms ialah sistem yang akan menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) sedia ada di JKDM yang telah diguna pakai sejak tahun 1995.

Kerajaan Abdullah Ahmad Badawi ketika itu telah mengerahkan Mampu (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) mengkaji keperluan mengembangkan sistem uCustom pada Julai 2011.

Jabatan Kastam mula memodenkan perkhidmatannya pada 2013 berdasarkan konsep “di hujung jari anda, di mana-mana, bila-bila masa, di semua jenis peranti” kata laporan itu. – 28 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen