Ford umum pelaburan hasilkan kenderaan elektrik


Ford berkata kilang-kilangnya itu nanti akan jadi kompleks pengeluaran kenderaan paling besar, paling maju, paling efisien dalam sejarah 118 tahunnya selain akan mengangkat nama syarikat sebagai antara peneraju utama dalam kenderaan elektrik. – Gambar EPA, 28 September, 2021.

PENGILANG kereta Amerika Syarikat, Ford mengumumkan pada Isnin ia merancang untuk melabur sebanyak AS$11.4 bilion dalam pengeluaran kenderaan elektrik, membina empat kilang baharu yang akan mewujudkan 11,000 peluang pekerjaan pada 2025.

Bersama rakan kongsi Korea Selatan SK Innovation, Ford akan membina kilang di Kentucky dan Tennessee, kata pembuat kenderaan itu dalam satu kenyataan.

Ford akan melabur AS$7 bilion, sebahagian daripada pelaburan AS$30 bilion yang telah diumumkan sebelum ini, selain SK Innovation akan menampung baki selebihnya.

Ford berkata ia akan menjadi “kompleks pengeluaran kenderaan paling besar, paling maju, paling efisien dalam sejarah 118 tahunnya” selain akan mengangkat nama syarikat sebagai peneraju utama dalam kenderaan elektrik.

Kenyataan itu berkata: “Pelaburan ini menyokong matlamat jangka panjang syarikat untuk mewujudkan ekosistem pembuatan Amerika yang lestari, dan untuk mempercepat kemajuannya ke arah mencapai peneutralan karbon, disokong oleh sasaran berasaskan sains sejajar dengan Perjanjian Iklim Paris.”

Syarikat itu menjangka antara 40 dan 50 peratus kenderaan globalnya adalah elektrik sepenuhnya menjelang 2030, menurut kenyataan itu.

Pengerusi Eksekutif Bill Ford berkata, “Ini adalah keadaan transformatif di mana Ford akan memimpin peralihan Amerika ke kenderaan elektrik dan membawa era baharu.”

“Dengan pelaburan dan semangat inovasi ini, kita dapat capai matlamat setelah difikirkan bersama - melindungi planet kita, membina kenderaan elektrik yang hebat yang akan disukai dan disumbangkan oleh rakyat Amerika kepada kemakmuran negara kita,” tambahnya.

Pengumuman itu dibuat di tengah permintaan tinggi untuk kenderaan pikap Lightning F-150 yang baharu dan model elektrik lain seperti E-Transit dan Mustang Mach-E.

Menyuarakan tema yang hampir sama dengan rancangan ekonomi Presiden Joe Biden, beliau berkata pelaburan itu adalah “tentang mewujudkan pekerjaan yang baik yang menyokong keluarga Amerika.” – AFP, 28 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen