Pfizer lancar ujian klinikal vaksin influenza guna teknologi mRNA


Pfizer menjalankan ujian klinikal vaksin influenza menggunakan mRNA, teknologi sama yang digunakan bagi menghasilkan vaksin Covid-19. – Gambar AFP, 28 September, 2021.

SYARIKAT farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS) Pfizer menjalankan ujian klinikal vaksin influenza menggunakan Messenger Asid Ribonukleik (mRNA), teknologi sama yang digunakan bagi menghasilkan vaksin Covid-19.

Pfizer dalam kenyataan semalam berkata ujian tersebut bertujuan meningkatkan keberkesanan vaksin selesema itu kepada 40% hingga 60%.

“Pandemik Covid-19 memberi peluang kepada pihaknya memanfaatkan ilmu saintifik mRNA yang sangat besar.

“Influenza tetap menjadi perkara di mana kita memerlukan vaksin yang boleh meningkatkan keberkesanan pada bila-bila masa, dan kami percaya mRNA adalah teknologi yang ideal untuk menghadapi situasi ini,” kata Kathrin Jansen, ketua penyelidik vaksin di Pfizer dalam kenyataan.

Menurutnya, ujian awal dijalankan ke atas lebih 600 rakyat AS berusia 65 hingga 85 tahun.

Kenyataan turut menyebut Pfizer secara khusus ingin membandingkan keselamatan dan tahap tindak balas imun mRNA tunggal, dua kali ganda dan empat kali ganda pada tahap dos berlainan berbanding vaksin empat kali ganda yang berlesen. 

Pfizer mula membangunkan vaksin influenza mRNA pada 2018 dengan kerjasama syarikat farmaseutikal Jerman BioNTech. 

Ia juga merancang untuk meneroka ubat mRNA untuk virus pernafasan lain, barah dan penyakit genetik pada masa hadapan. – AFP, 28 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen