10 pemberontak pembangkang dibunuh di Colombia


Bendera FARC dikibarkan semasa demonstrasi menuntut kerajaan menghormati perjanjian damai 2016. Pada Isnin tentera kerajaan membunuh 10 orang pemberontak FARC. – Gambar AFP, 28 September, 2021.

ANGKATAN bersenjata Colombia membunuh 10 pemberontak yang disyaki tergolong dalam salah satu unit FARC pembangkang, kata seorang pegawai kanan tentera pada Isnin.

Negara itu berhadapan beberapa serangan terburuk oleh kumpulan bersenjata sejak perjanjian damai ditandatangani dengan Angkatan Bersenjata Revolusi (FARC) pada 2016.

“Ia masih berlaku sekarang tetapi kami sudah bunuh 10 penjahat” puak pembangkang yang diketuai oleh “Mono Ferley,” kata komander angkatan bersenjata Luis Fernando Navarro dalam sebuah mesej yang dikongsi dengan media.

Komander kumpulan itu, yang menggunakan nama “Mono Ferley,” merupakan salah seorang daripada “orang-orang Ivan Mordisco,” yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa sebagai salah satu pemimpin terhebat bekas gerila FARC.

Bagaimanapun Navarro tidak menyatakan di mana operasi itu berlaku.

Walaupun sebahagian besar FARC sudah letak senjata mereka - sekitar 7,000 lelaki dan wanita - namun masih ada yang kekal aktif yang meneruskan kekerasan di beberapa wilayah.

Dianggarkan lebih kurang 2,500 pemberontak menolak perjanjian damai 2016. Mereka terus beroperasi secara haram, mendapatkan dana dari perdagangan dadah, perlombongan dan pemerasan haram, menurut perisik Colombia.

Pertubuhan bukan kerajaan Indepaz menganggarkan terdapat 73 pembunuhan beramai-ramai di negara ini pada 2021.

Menurut maklumat tentera, “Ivan Mordisco” bersekutu dengan “Gentil Darte,” pemimpin pembangkang yang utama, untuk melaksanakan rancangan yang disebut “membangunkan kembali FARC-EP.” – AFP, 28 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen