Kami ada hak uji senjata, Korea Utara beritahu PBB


Korea Utara melakukan beberapa ujian peluru berpandu bulan ini, satu melibatkan peluru berpandu jarak jauh dan satu lagi dengan peluru berpandu balistik jarak pendek, menurut tentera Korea Selatan. – Gambar EPA, 28 September, 2021.

DUTA Besar Korea Utara ke PBB memberitahu Perhimpunan Agung pada Isnin “tiada siapa dapat nafikan” negara bersenjata nuklear akan hak untuk uji senjata.

Komen Kim Song di ibu pejabat badan dunia di New York itu muncul hanya beberapa saat setelah tentera Korea Selatan berkata Korea Utara telah menembak “pelancar tidak dikenali” ke bahagian laut di pantai timurnya.

“Tidak ada yang dapat nafikan hak untuk pertahankan diri bagi DPRK untuk mengembang, menguji, membuat dan memiliki sistem senjata yang setara dengan yang dimiliki atau dikembangkan oleh mereka,” kata Kim, merujuk kepada Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

“Kami hanya membangun pertahanan negara untuk pertahan diri dan jaga keselamatan dan keamanan negara,” katanya.

Pyongyang berada di bawah banyak sekatan antarabangsa atas program senjata nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

Ia telah membuat beberapa ujian peluru berpandu bulan ini, satu melibatkan peluru berpandu jarak jauh dan satu lagi dengan peluru berpandu balistik jarak pendek, menurut tentera Korea Selatan.

Seoul baru-baru ini berjaya menguji peluru berpandu balistik kapal selam (SLBM) buat pertama kali, menjadikannya salah satu dari segelintir negara dengan teknologi canggih.

Tambah Kim latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Korea Selatan dan “penggunaan semua jenis senjata strategik” ke arah Utara perlu dihentikan.

Pelancaran awal Selasa di Semenanjung Korea berlaku ketika Korea Utara membuka sesi parlimennya iaitu Majlis Rakyat Tertinggi. – AFP, 28 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen