KERAJAAN Azerbaijan kini sedang melakukan kerja-kerja baik pulih di wilayah yang dibebaskan dan mengambil langkah konsisten untuk memastikan kepulangan hampir satu juta pelarian Azerbaijan secara aman dan bermaruah, serta penyatuan semula wilayah terbabit.
Kementerian Luar Azerbaijan dalam satu kenyataan kepada Bernama sempena Hari Peringatan memaklumkan kerajaan juga mengambil pendekatan yang perlu untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang berkekalan di rantau ini sesuai dengan Pernyataan Trilateral (tiga pihak) membabitkan Azerbaijan, Rusia dan Armenia 10 November 2020 berikutan perang 44 hari antara Azerbaijan dan Armenia.
Peperangan yang juga dikenali Perang Karabakh Kedua meletus pada 27 September 2020 dan berakhir dengan perjanjian pada 10 November, menyaksikan Presiden Rusia Vladimir Putin sebagai perantara.
Selain itu, Baku bersedia memulihkan hubungan dengan Armenia, berdasarkan kepatuhan ketat terhadap prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa, khususnya kedaulatan, integriti wilayah dan ketakbolehcabulan sempadan antarabangsa.
“Kami meminta Armenia untuk menghormati prinsip-prinsip asas ini untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau ini dan mematuhi kewajiban antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Merujuk perang selama 44 hari sebagai Perang Patriotik, kementerian menyatakan peperangan telah menjamin integriti wilayah Azerbaijan manakala hak asasi hampir satu juta pelarian Azerbaijan dapat dikembalikan.
“Azerbaijan, secara bersendirian memastikan pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun 1993,” menurut kenyataan itu lagi.
Peperangan di bawah kepemimpinan Presiden Ilham Aliyev, membuka era baharu dalam sejarah Azerbaijan, mewujudkan keadilan antarabangsa dan mengubah realiti di rantau ini.
Penamatan pencerobohan wilayah Azerbaijan menunjukkan sepenuhnya “kegiatan haram yang dilakukan oleh Armenia selama berdekad-dekad.”
Hari Peringatan di Azerbaijan untuk memperingati dan mengenang pengorbanan rakyat yang terkorban dalam memperjuangkan kemerdekaan, kedaulatan dan integriti wilayah Azerbaijan.
Konflik antara dua republik itu bermula pada 1988 - tiga tahun sebelum pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991. Nagorno-Karabakh dan tujuh daerah sekitarnya, merangkumi 20% wilayah Azerbaijan diakui di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Azerbaijan, tetapi dicerobohi sebelum perang meletus. – Bernama, 27 September, 2021.
Komen