GEMPA kuat melanda Pulau Crete di Greece hari ini mengorbankan seorang lelaki yang bekerja di sebuah gereja selepas bangunan itu runtuh selain mencederakan sembilan yang lain, kata agensi perlindungan awam.
Gempa berukuran 5.8 magnitud itu melanda 23 kilometer dari Heraklion, ibu kota pulau terbesar di Greece.
Gempa itu menyebabkan penduduk yang panik bertempiaran lari di jalan raya dan merosakkan bangunan lama.
Gambar di televisyen awam ERT menunjukkan bangunan lama yang runtuh di Arkalochori dan kampung-kampung sekitar Heraklion.
“Ini gempa bumi yang tidak dijangkakan. Buat masa ini ada gempa susulan 4.5 magnitud,” kata ahli seismologi Efthymis Lekkas yang dipetik oleh agensi berita ANA.
Pada Oktober 2020, gempa bumi dengan skala 7.0 magnitud melanda Laut Aegea antara Pulau Samos Greece dan bandar Izmir di barat Turki.
Sebilangan besar kerosakan berlaku di Turki di mana 114 orang terbunuh dan lebih 1,000 cedera.
Di Greece, dua remaja dilaporkan maut di Samos. – AFP, 27 September, 2021.
Komen