PENDUDUK Sydney yang sudah divaksin akan bebas daripada sekatan Covid-19 menjelang pertengahan Oktober, kata pegawai Australia pada Isnin, menggariskan “rangka tindakan kebebasan” tiga tahap ketika kes harian bandar itu menurun.
Arahan duduk di rumah akan ditarik di Sydney dan sekitar New South Wales apabila kadar vaksinasi cecah 70 peratus, dengan Perdana Menteri Gladys Berejiklian berkata dijangka ianya akan dilaksanakan pada 11 Oktober.
Pub, restoran dan kedai yang ditutup akan dibenarkan buka semula kepada individu divaksinasi sementara rakan dan keluarga yang tinggal di bandar terbesar di Australia akan dapat berjumpa kembali.
“Cuma minggu ini dan minggu depan kita perlu bertahan,” kata Berejiklian.
“Kita hampir, hampir sampai, dan jangan menyerah pada saat-saat akhir.”
Timbalan Perdana Menteri John Barilaro berkata “rangka tindakan kebebasan” akan membolehkan rentas New South Wales di bawah tahap kedua - setelah lebih 80 peratus penduduk atas umur 16 tahun diberi vaksin sepenuhnya - yang dijangka menjelang hujung Oktober.
Sekatan untuk ziarah majlis pengebumian dan perkahwinan akan ditarik pada masa sama, sementara acara sukan juga akan dibenarkan.
Bagaimanapun, orang dewasa yang tidak divaksinasi perlu tunggu hingga sekurang-kurangnya 1 Disember untuk menikmati sekatan yang sama di bawah tahap ketiga, apabila diramalkan sekitar 90 peratus populasi yang layak akan diberi vaksin, kata para pegawai.
“Saya rasa hari ini adalah hari yang sangat mengecewakan bagi mereka yang tidak diberi vaksin. Mereka perlu tunggu sampai lima atau enam minggu selepas yang lain,” kata Berejiklian. – AFP, 27 September, 2021.
Komen