KERTAS biru Laporan Pembangunan Internet Dunia 2021 dan Laporan Pembangunan Internet China 2021 dibentangkan pada Sidang Kemuncak Persidangan Internet Dunia (WIC) di Wuzhen, provinsi Zhejiang, Ahad.
Memetik Laporan Pembangunan Internet China 2021, ekonomi digital China dicatatkan sebanyak RMB39.2 trilion (RM25.4 trilion) pada 2020, sekali gus menyumbang 38.6% kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Peningkatan pada kadar 9.7% dari tahun ke tahun itu secara tidak langsung menjadi penggerak utama dalam menstabilkan pertumbuhan ekonomi.
Menurut laporan itu skala industri digital China berjaya mencapai RMB7.5 trilion (RM4.9 trilion) dengan munculnya industri dan model perniagaan baharu serta menuju ke arah rantaian industri global bermutu tinggi.
Sehubungan itu, proses pendigitalan terus dipercepat sehingga mencatat RMB31.7 trilion (RM20.5 trilion), sementara taraf digital dalam bidang perindustrian, pertanian dan perkhidmatan terus menyaksikan peningkatan.
Jumlah dagangan e-niaga China menokok 4.5% pada 2020 iaitu RMB37.21 trilion (RM24.1 trilion), manakala pendapatan operasi sektor perkhidmatan e-niaga pula mencatat RMB5.45 trilion (RM3.53 trilion), melonjak 21.9% berbanding tempoh sama 2019.
Sementara itu, Laporan Pembangunan Internet Dunia 2021 pula menyatakan ekonomi digital kini menjadi pilihan utama pelbagai negara bagi mengatasi kesan wabak Covid-19, selain bertujuan mempercepat transformasi sosial dan ekonomi.
Ketika ini, pelbagai negara turut mempercepat penempatan infrastruktur model baharu, iaitu infrastruktur maklumat baharu termasuk 5G, kecerdasan buatan(AI), Internet Benda (IoT), internet perindustrian dan internet satelit yang dlilihat sebagai enjin baharu bagi pertumbuhan ekonomi sejagat. – Bernama, 27 September, 2021.
Komen