NASIB Jerman masih belum diketahui pada Isnin selepas persaingan ketat dalam pilihan raya menyaksikan dua buah parti utama mendakwa dapat memimpin negara ekonomi terbesar Eropah itu, sekali gus meninggalkan persoalan pengganti Angela Merkel.
Keputusan awal menunjukkan parti kiri-tengah Sosial Demokrat (SPD) menang dengan 25.7 peratus, menurut laman web suruhanjaya pilihan raya.
Blok kanan-tengah CDU-CSU Canselor Merkel memperoleh 24.1 peratus, paling teruk dalam sejarah tujuh dekad. Parti Hijau berada di tempat ketiga dengan 14.8 peratus. Pengumuman rasmi dijangka tidak lama lagi.
Calon canselor SPD, Menteri Kewangan dan Naib Canselor Olaf Scholz, dan Armin Laschet dari parti konservatif Merkel masing-masing mendakwa mendapat mandat untuk memerintah.
Bagi sebuah negara yang sudah biasa dengan kestabilan politik selepas 16 tahun kepemimpinan Merkel, masa hadapan negara itu kini dilihat berliku-liku dan sukar.
Sekutu Barat sedang memerhati rapat, sedar sebarang gangguan domestik boleh merosakkan peranan Jerman di pentas antarabangsa selain mewujudkan kekosongan kepemimpinan di Eropah.
Laschet, 60, dan Scholz, 63, keduanya berkata tujuan mereka adalah untuk mendapat mandat pemerintahan baru sebelum Krismas. – AFP, 27 September, 2021.
Komen