China beri amaran hubungan suram dengan Taiwan


Rakyat Taiwan membuat protes anti-China dan prodemokrasi Hong Kong di luar Parlimen di Taipei ketika negara itu ditekan republik komunis untuk bersatu sebagai "Satu China". – Gambar EPA, 27 September, 2021.

PRESIDEN China Xi Jinping pada Ahad memberi amaran hubungan antara Beijing dan Taipei suram, mendesak parti pembangkang utama pulau itu membantu mencari jalan “menyatukan negara.”

China melihat Taiwan yang demokratik yang diperintah sendiri sebagai sebahagian daripada wilayahnya, berikrar merampasnya suatu hari nanti, secara paksa jika perlu.

Xi menjadi pemimpin paling suka berkelahi sejak Mao Zedong, menggambarkan rampasan pulau itu sebagai “tidak dapat dielakkan.”

Dalam surat ucapan tahniah kepada Eric Chu - pemimpin baharu Parti Kuomintang (KMT) yang mesra Beijing - Xi berkata Parti Komunis China dan KMT perlu bekerjasama di bawah “dasar politik bersama.”

“Pada masa lalu kedua pihak kami menekankan ‘konsensus 1992’ dan menentang kemerdekaan Taiwan… untuk mempromosikan perkembangan damai dalam hubungan selat,” kata Xi dalam surat dikeluarkan KMT.

“Pada masa ini keadaan di Selat Taiwan adalah rumit dan suram,” katanya, mengesa bersama-sama mencari perdamaian dan “penyatuan negara.”

Hubungan antara Taiwan dan China bertambah baik di bawah bekas presiden Ma Ying-jeou dari KMT antara 2008 dan 2016, yang berakhir dengan pertemuan penting antara Xi dan beliau di Singapura pada 2015.

KMT mempunyai sedikit pergeseran dengan China apabila menerima konsensus 1992 - perjanjian senyap bahawa hanya ada “satu China” tanpa menyatakan sama ada Beijing atau Taipei adalah wakil yang sah.

Sebagai respons, Chu berkata melalui surat kepada Xi, kedua-dua pihak perlu “mencari jalan bersama dan menghormati perbezaan mereka” bagi mempromosikan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan.

Beijing telah meningkatkan tekanan ketenteraan, diplomatik dan ekonomi ke atas Taiwan sejak pelantikan Presiden Tsai Ing-wen pada 2016 yang menganggap pulau itu sebagai negara berdaulat dan bukan sebahagian dari “satu China.”

Tahun lalu, jet tentera China meceroboh sebanyak 380 kali ke zon pertahanan Taiwan, di mana penganalisis memberi amaran ketegangan antara kedua-dua belah pihak berada pada tahap paling tinggi sejak pertengahan 1990-an.

Pada Khamis, China menerbangkan 24 pesawat perang termasuk dua pengebom berkemampuan nuklear ke zon pertahanan udara Taiwan, terbesar dalam beberapa minggu, setelah menyuarakan penentangannya terhadap Taipei untuk bergabung dalam perjanjian perdagangan trans-Pasifik. – AFP, 27 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen