Israel bebaskan ahli Parlimen Palestin dari penjara


Selepas dua tahun ditahan tanpa didakwa, pihak berkuasa Israel akhirnya membebaskan ahli Parlimen Palestin Khalida Jarrar atas tuduhan kononnya terlibat dalam kumpulan pengganas yang sehingga ini belum terbukti. – Gambar AFP, 27 September, 2021.

PIHAK berkuasa Israel pada Ahad membebaskan ahli Parlimen Palestin Khalida Jarrar dari penjara setelah dua tahun ditahan.

Jarrar, 58, dijatuhkan hukuman dua tahun pada Mac 2021 kerana menjadi anggota Popular Front for Liberation of Palestine (PFLP), yang digelar pengganas oleh Israel dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun tentera Israel tidak menemui bukti Jarrar terlibat dalam sebarang tindakan ganas.

Beliau ditahan tanpa didakwa sejak 2019 apabila ditangkap bersama beberapa tokoh Palestin lain berikutan serangan yang mengorbankan seorang remaja Israel. Israel menyalahkan PFLP atas serangan tersebut.

Jarrar dilantik ke Majlis Perundangan Palestin, atau Parlimen, sebagai sebahagian dari PFLP.

Pada Ahad kumpulan itu mengucapkan tahniah kepada Jarrar atas pembebasannya, menggambarkannya sebagai “rakan seperjuangan” yang terkenal dengan “kesabaran dan ketabahan”.

Setelah keluar dari penjara, Jarrar mengunjungi kubur anak perempuannya Suha yang meninggal pada Julai, kata seorang wartawan AFP.

Pada masa itu, pihak berkuasa penjara Israel enggan mengizinkan Jarrar menghadiri pengebumian anak perempuannya.

Jarrar ditangkap dan dipenjara berkali-kali dan sering ditahan tanpa didakwa dalam apa yang disebut oleh Israel sebagai penahanan pentadbiran.

Perintah penahanan pentadbiran Israel membenarkan suspek ditahan tanpa didakwa untuk tempoh enam bulan yang boleh diperbaharui.

Israel berkata prosedur itu bertujuan supaya pihak berkuasa menahan suspek sambil kumpul bukti, dengan tujuan mencegah jenayah buat sementara waktu.

Namun sistem itu telah dikritik oleh rakyat Palestin, kumpulan hak asasi manusia dan anggota masyarakat antarabangsa, mengatakan Israel menyalahgunakannya. – AFP, 27 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen