Mesir akan kenakan cukai kepada pempengaruh media sosial


Pengumuman Mesir untuk mengenakan cukai ke atas pencipta kandungan media sosial mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial. – Gambar EPA, 27 September, 2021.

MESIR akan mengenakan cukai ke atas pencipta kandungan media sosial susulan semakin ramai penduduk di negara itu menjana pendapatan lumayan dalam talian.

Agensi percukaian Mesir dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata cukai dikenakan ke atas pencipta kandungan YouTube dan penulis blog memperoleh lebih 500,000 pound (AS$32,000) setahun.

Menurut angka rasmi yang dikeluarkan kerajaan, kadar akses internet di negara dengan 100 juta penduduk itu kini mencecah 60%.

Pengumuman itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.

“Penjual sayur pun kena bayar cukai, jadi apa salahnya dikenakan kepada orang kaya juga,” tulis seorang pengguna Twitter.

Segelintir pula berpendapat langkah kerajaan itu hanya akan mendorong pencipta kandungan berhijrah di Mesir ke negara lain.

“Jika kerajaan mahu kenakan cukai ke atas YouTubers, sekurang-kurangnya tambah baik dahulu capaian internet,” kata seorang pengguna Twitter.

Sementara itu pegawai kanan percukaian, Mohamed al-Gayyar, dalam satu rancangan bual bicara di televisyen pada Sabtu berkata secara adilnya sesiapa sahaja yang buat untung di Mesir perlu dikenakan cukai.

Seorang lagi pegawai cukai dalam program sama berkata individu yang ingkar peraturan baharu itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Pengacara rancangan kemudian mempersoalkan kewajaran kerajaan untuk melaksanakan cukai tersebut.

“Berapa ramai sebenarnya penulis blog dalam negara ini?

“Menteri kewangan sendiri tahu ada berjuta rakyat yang mengelak bayar cukai,” kata Amr Adib. – AFP, 27 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen