10 pelajar dibebaskan kumpulan bersenjata Nigeria 


Kumpulan bersenjata Nigeria menyasarkan sekolah dan kolej, menculik pelajar untuk mendapatkan wang tebusan.– Gambar EPA, 27 September, 2021.

KUMPULAN bersenjata yang menculik lebih 100 pelajar dari sebuah sekolah di barat laut Nigeria lebih dua bulan lalu bertindak membebaskan 10 lagi tebusan selepas wang tebusan dibayar, kata persatuan ibu bapa.

Penjenayah terbabit menyerbu Sekolah Tinggi Bethel Baptist pada 5 Julai lalu di pinggir bandar Kaduna dan melarikan 121 pelajar yang sedang tidur di asrama mereka ketika itu.

Penculikan Bethel adalah salah satu penculikan oleh kumpulan bersenjata yang mengganas di barat laut dan tengah Nigeria, merampas, mencuri lembu dan menculik.

Kumpulan berkenaan menyasarkan sekolah dan kolej, menculik pelajar untuk mendapatkan wang tebusan daripada ibu bapa dan pihak berkuasa.

“Penculik membebaskan 10 pelajar lagi hari ini setelah kami memenuhi tuntutan mereka seperti pelajar sebelumnya yang mereka lepaskan,” kata Joseph Hayab, tanpa mendedahkan jumlah wang tebusan yang dibayar.

Pembebasan terbaru itu berlaku seminggu selepas 10 pelajar lain dibebaskan sebelum ini.

“Masih ada 11 lagi pelajar yang ditawan dan kami berharap semua akan dibebaskan selepas kami mencapai persetujuan dengan kumpulan berkenaan,” kata Hayab.

Penculik membebaskan pelajar yang diculik secara berkumpulan, yang mana menurut Hayab bertujuan untuk memeras lebih banyak wang daripada ibu bapa kerana wang dibayar setiap kali pelajar dibebaskan.

Setakat ini 110 pelajar telah dibebaskan atau berjaya melarikan diri.

Tiga daripada penangkap telah ditangkap, kata jurucakap polis Frank Mba pada Khamis.

Lebih daripada 1,000 pelajar dan murid telah diculik di utara negara itu sejak Disember, walaupun kebanyakan dibebaskan menerusi rundingan. – AFP, 27 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen