SEKURANG-kurangnya 3 maut manakala puluhan lagi cedera selepas lapan daripada 10 gerabak kereta api Amtrak yang membawa 141 penumpang dan kru tergelincir dari landasan di utara Montana, Amerika Syarikat.
Kereta api berkenaan dalam perjalanan dari Chicago ke pantai Pacific.
Punca kejadian masih tidak diketahui dan sedang disiasat oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS.
Amtrak mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan insiden berkenaan.
“Tiada apa yang dapat kami katakan selain kesedihan kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam kejadian ini.
“Kami akan berikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan, bekerjasama dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional, Pentadbiran Keretapi Persekutuan, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkuasa tempatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Amtrak Bill Flynn dalam satu kenyataan.
Rakaman yang dimuat naik di media sosial menunjukkan penumpang menunggu di tepi landasan bersama bagasi mereka, dan gerabak tergelincir dari landasan.
Flynn berkata syarikat itu berusaha untuk memberi sokongan kepada mangsa dan kru serta menubuhkan satu pasukan khas untuk membantu mereka yang berada dalam kereta api berkenaan. – AFP, 27 September, 2021.
Komen