Merkel keluar pentas politik, Jerman mengundi hari ini


Persaingan merebut jawatan canselor selepas Angela Merkel berundur akan membawa Jerman ke era baharu ketidakpastian politik. – Gambar AFP, 26 September, 2021.

PENDUDUK Jerman mengundi hari ini dalam salah satu pilihan raya paling sengit dalam sejarah modennya, dengan parti Konservatif Angela Merkel dan pusat-kiri Sosial Demokrat bersaing hebat untuk jawatan canselor ketika Merkel sedang bersiap-sedia meninggalkan pentas politik.

Pilihan raya itu menandakan tamatnya tempoh 16 tahun kestabilan Jerman sepanjang Merkel berkuasa dan membawa Jerman ke era baharu ketidakpastian.

Tinjauan awam mendapati persaingan jawatan canselor semakin sampai ke garis penamat dengan pakatan konservatif CDU-CSU Merkel mendapat 23% sokongan berbanding pesaing Sosial Demokrat berhaluan pusat-kiri yang mendapat 25% sokongan, angka yang sangat bergantung kepada ralat tinjauan.

“Kita pastinya akan terima kejutan pada Ahad,” kata Nico Siegel, ketua Infratest Dimap, sebuah firma kajian.

Walaupun SPD mendahului tinjauan, pakatan konservatif masih berpeluang untuk menang, katanya.

“Persaingan untuk tempat pertama masih terbuka luas.”

Sekitar 40% daripada 60.4 juta pengundi di Jerman berkata mereka masih belum membuat keputusan, sementara sebahagian lagi sudah membuang undi pos, termasuk Merkel.

Perlawanan untuk jawatan canselor kini melibatkan dua calon utama: Menteri Kewangan dan Naib Canselor Olaf Scholz, 63, dari SPD dan Armin Laschet, 60, dari CDU-CSU.

Tetapi, kedua-dua parti tidak mempunyai majoriti diperlukan untuk mentadbir secara sendiri, dan dijangka beberapa minggu dan bulan diperlukan untuk pakatan politik melakukan rundingan kerjasama politik.

Selepas pilihan raya terakhir Jerman pada September 2017, hanya pada bulan Februari sebelum itu CDU-CSU berjaya membentuk pakatan dengan SPD.

Banyak pihak menjangkakan akan wujud gabungan politik baharu, dengan SPD dan Konservatif boleh cuba bekerjasama untuk mendapatkan majoriti jika tidak wujud isu besar.

Menjelang pilihan raya Scholz menyuarakan minatnya untuk bekerjasama dengan Parti Hijau, menyeru pengundi memilihnya untuk membentuk pakatan dua parti.

Jika majoriti masih tidak berjaya dicapai, beliau juga mungkin akan bekerjasama dengan parti liberal, FDP walaupun parti itu tidak mempunyai hubungan baik dengan SDP dan Parti Hijau.

Laschet pula memberi gambaran beliau akan membentuk pakatan walaupun CDU-CSU tidak mendapat tempat pertama, berkemungkinan besar mendapatkan sokongan FDP dan Parti Hijau.

Tetapi mendapat tempat kedua akan menjejaskan parti itu, yang mendominasi politik Jerman sejak Perang Dunia Kedua dan tidak pernah menang kurang 30% undi pada pilihan raya persekutuan. – AFP, 26 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen