Protes bantah migran Venezuela di utara Chile 


Beberapa penunjuk perasaan Chile bergelut dengan pendatang haram Venezuela dalam tunjuk perasaan di Iquique, utara Chile.– Gambar EPA, 26 September, 2021.

KIRA-kira 3,000 orang berarak di bandar pelabuhan Iquique di utara Chile bagi membantah kehadiran pendatang haram Venezuela.

Beberapa penunjuk perasaan turut bergaduh dengan pendatang berkenaan dan ada yang bertindak membakar barangan milik pendatang di kem kosong.

Penunjuk perasaan terbabit turut melaungkan slogan “Bantah pendatang haram” dan menyanyikan lagu kebangsaan mereka.

Polis terpaksa campur tangtan apabila ada segelintir daripada penunjuk perasaan yang bertindak menyerang pendatang Venezuela yang tinggal di jalanan.

Menurut wartawan AFP, pendatang haram Venezuela berkeliaran di bandar itu sejak Sabtu lalu bagi mencari penempatan yang terlindung.

Protes itu berlaku beberapa hari selepas polis mengosongkan kem pendatang haram yang wujud di bandar berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Kebanyakan pendatang ini adalah dari golongan miskin, tiada dokumen perjalanan dan terkandas di bandar berkenaan.

Ratusan keluarga pendatang ini berkeliaran di pelbagai tempat awam dan cuba mendirikan khemah di tepi pantai atau di kawasan perindustrian bandar berkenaan, kata Datuk Bandar Jose Miguel Carvajal.

Beberapa pelampau pergi ke khemah pendatang Venezuela yang tiada penghuni dan bertindak membakar barangan milik mereka.

Chile merupakan antara negara terkaya di Amerika Latin mengikut standard per kapita.

Sementara Venezuela berdepan kegawatan ekonomi dan krisis politik yang menyebabkan jutaan penduduknya lari meninggalkan negara itu.– AFP, 26 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen