LAPAN orang maut manakala tujuh yang lain cedera dalam satu letupan bom membabitkan sebuah kereta di pusat pemeriksaan berhampiran istana presiden Somalia, kata polis hari ini.
Kumpulan pejuang Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.
“Kami mengesahkan lapan orang yang kebanyakannya orang awam maut dan tujuh yang lain cedera dalam letupan bom membabitkan sebuah kereta itu,” kata Ketua Polis Daerah Mucawiye Ahmed Mudey kepada wartawan.
Pengeboman itu berlaku pada lewat pagi, kira-kira satu kilometer dari istana presiden, Villa Somalia.
Menurut saksi kejadian Mohamed Hassan, bom berkenaan diletupkan ketika polis melakukan pemeriksaan terhadap pemadu kereta tersebut. Api merebak ke kereta lain dan mengakibatkan penumpangnya terperangkap.
“Mereka biasanya berhenti untuk pemeriksaan kenderaan sebelum dibenarkan melepasi pusat terbabit.
“Pemandu kereta tersebut diarahkan berhenti oleh pengawal keselamatan dan terdapat beberapa kereta dan orang lain yang melalui jalan berdekatan. Saya melihat mangsa yang cedera dan maut dibawa ke hospital,” kata saksi.
Menurut pihak polis, antara mangsa yang maut adalah penasihat kepada perdana menteri bagi unit wanita dan hak asasi manusia, Hibaq Abukar.
Perdana Menteri Mohamed Roble mengecam serangan itu dan memberi penghormatan kepada Abukar, yang disifatkan sebagai “anak muda bersemangat, rajin dengan kejujuran” dan juga “warganegara yang setia.”
Roble menambah: “Kita harus bekerjasama dalam memerangi pengganas yang kejam yang selalu membunuh rakyat”.
Mohamed Roble dan Presiden Mohamed Abdullahi Mohamed yang dikenali sebagai Farmajo, terperangkap dalam perselisihan mengenai pelantikan dan pemecatan kakitangan keselamatan yang mengancam untuk menangguhkan pemilihan presiden negara itu pada 10 Oktober.
Kumpulan pejuang Al-Shabaab dalam satu kenayataan ringkas mengaku bertanggungjawab ke atas pengeboman itu. – AFP, 25 September, 2021.
Komen