ANAK lelaki Presiden Brazil, Jair Bolsonaro mengesahkan beliau dijangkiti coronavirus sekali gus menjadi perwakilan ketiga negara itu yang menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York disahkan positif Covid-19.
Eduardo Bolsonaro, 37, di Twitter berkata beliau berasa sihat dan “mula menjalani rawatan kendiri” tanpa mendedahkan ubat yang digunakannya.
Beliau menyebut, jangkitannya sebagai bukti dalam kempennya menentang pasport vaksin Covid-19 yang baharu diperkenalkan di beberapa bandar di Brazil.
“Kami tahu bahawa vaksin dibangunkan lebih cepat daripada kebiasaannya. Saya menerima dos pertama vaksin Pfizer dan saya mendapat Covid-19,” katanya.
“Adakah ini bermakna vaksin tidak berguna? Tidak. Tetapi saya percaya terdapat hujah lain terhadap pasport kesihatan.”
Menteri Kesihatan Brazil, Marcelo Queiroga, disahkan positif Covid-19 pada Selasa lalu setelah menghadiri perhimpunan tersebut dan harus menjalani kuarantin di sebuah hotel di New York.
Perwakilan ketiga yang disahkan positif Covid-19 adalah seorang diplomat yang tiba di New York sehari lebih awal daripada Jair Bolsonaro.
Presiden Bolsonaro yang telah sembuh daripada Covid-19 muncul tanpa memakai topeng dalam beberapa majlis ketika berada di perhimpunan itu walaupun enggan divaksin.
Bolsonaro menimbulkan kegusaran di media sosial setelah sebuah foto menunjukkan beliau mengambil langkah berjaga-jaga ketika menikmati pizza daripada seorang penjual jalanan di New York bersama anggota delegasi Brazil yang lain.
Sejak kepulangannya, presiden mengasingkan diri di kediaman rasminya kerana telah menjadi kontak rapat kepada Queiroga dan akan menjalani ujian PCR hujung minggu ini. – AFP, 25 September, 2021.
Komen