Presiden Lubnan minta bantuan kewangan


Presiden Lubnan Michel Aoun berucap secara maya kepada PBB mohon sokongan dan bantuan masyarakat antarabangsa bagi memulihkan ekonomi negara itu. – Gambar EPA, 25 September, 2021.

PRESIDEN Lubnan Michel Aoun meminta masyarakat antarabangsa memberi bantuan kewangan bagi membantu negara itu selepas pembentukan kerajaan baharu bagi mengakhiri krisis politik selama 13 bulan.

Dalam ucapan secara maya kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beliau berkata Lubnan memerlukan sokongan dan bantuan masyarakat antarabangsa bagi memulihkan ekonomi negara itu.

“Kita amat mengharapkan masyarakat antarabangsa untuk membiayai projek penting di sektor awam dan swasta untuk menghidupkan kembali kehidupan ekonomi di Lubnan,” katanya.

Ucapan itu dibuat ketika Presiden Perancis Emmanuel Macron mendesak Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati segera melakukan reformasi bagi membantu negara yang dilanda krisis, ketika dua pemimpin itu bertemu di Paris buat kali pertama.

Mikati memberitahu Macron beliau bertekad melaksanakan reformasi memulihkan ekonomi dan kestabilan di negara itu secepat mungkin.

Pentadbiran kerajaan baharu Lubnan harus segera mencapai kesepakatan dengan Tabung Kewangan Dunia (IMF), ketika ia berusaha mencari jalan keluar daripada krisis ekonominya, yang digambarkan Bank Dunia sebagai terburuk di dunia sejak 1850.

Lubnan menghadapi inflasi dan catuan bekalan elektrik dan bahan bakar yang melumpuhkan kehidupan seharian penduduk negara itu.

Malah rakyat negara itu juga mendakwa kumpulan ahli politik negara itu masih mengamalkan rasuah dan tidak kompeten, sekali gus bertanggungjawab atas keruntuhan sistem kewangan dan ekonomi negara itu.

Presiden Aoun mengakui sistem rentier, pemborosan dan rasuah, ditambah ketidakcekapan dan urus tadbir kerajaan yang buruk menjatuhkan Lubnan ke dalam krisis yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Beliau juga kesal apabila 1.5 juta pelarian Syria melarikan diri dari perang saudara ke Lubnan tidak didorong untuk kembali ke negara asal mereka.

“Saya meminta masyarakat antarabangsa berkali-kali untuk membantu kami memastikan selamat pulangnya warga Syria yang terlantar ke rumah mereka.

“Malangnya tidak ada yang mendengar saya,” katanya. – AFP, 25 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen