2 menyamar peguam tembak mati samseng di mahkamah India


Polis berkawal di mahkamah di Delhi, India selepas seorang samseng ditembak mati oleh dua lelaki yang menyamar sebagai peguam, semalam. – Gambar AFP, 25 September, 2021.

DUA lelaki menyamar peguam menembak mati seorang samseng di kamar mahkamah di Delhi, India, semalam.

Jitendra Maan atau terkenal dengan nama Gogi ditembak mati semasa dibawa ke mahkamah untuk dituduh atas kesalahan bunuh dan ugut, lapor media.

Polis kemudian menembak mati dua lelaki itu, dipercayai anggota kumpulan samseng yang bersaing dan bermusuhan dengan kumpulan diketuai Gogi sejak bertahun-tahun.

Rakaman video dari luar mahkamah semasa kejadian menunjukkan pihak keselamatan dan peguam bertempiaran keluar dari mahkamah selepas tembakan kedengaran.

Beberapa peguam dan pegawai mahkamah juga dipetik berkata mereka tergamam selepas mendengar tembakan pertama, sementara hakim sempat melarikan diri ke kamarnya.

Seorang peguam dilapor cedera terkena tembakan. Media melaporkan polis menemui 27 kelongsong peluru di dalam mahkamah.

Gogi, 30, antara penjenayah paling dikehendaki yang berjaya ditangkap pada Mac 2020. Dia didakwa terlibat dalam berpuluh-puluh kes antaranya bunuh, culik dan tipu.

Media melaporkan Gogi juga jadi sasaran kumpulan samseng lain kerana dia cepat membina pengaruh dan meluaskan penguasaannya dalam dunia jenayah.

Kejadian semalam membangkitkan semula persoalan tentang tahap keselamatan di mahkamah di Delhi, yang sebelum ini pernah dikemukakan melalui satu petisyen di mahkamah.

Petisyen itu antara lain menuntut kerajaan meningkatkan tahap keselamatan di tujuh mahkamah daerah di Delhi dengan menambah anggota keselamatan, memasang kamera litar tertutup dan memasang mesin pengimbas keselamatan. – Agensi, 25 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen