SEBUAH syarikat bekalan elektrik Amerika Syarikat (AS) didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian, susulan kabelnya mencetuskan kebakaran hutan di California yang mengakibatkan empat terbunuh, kata pendakwa raya.
Lebih 22,000 hektar terbakar apabila paip laluan elektrik dikendalikan Pacific Gas and Electric (PG&E) tersentuh dengan pokok pada September 2020, mencetuskan apa yang dikenali sebagai kebakaran Zogg.
Pihak pendakwa berkata syarikat itu tahu pokok di Shasta County sangat dekat dengan laluan elektrik dan ia sepatutnya dialihkan tiga tahun lalu.
“Kami ada bukti mencukupi menunjukkan syarikat Pacific Gas and Electric bertanggungjawab atas kelalaian mereka mencetuskan kebakaran Zogg dan kematian serta kemusnahan yang berlaku,” kata peguam negeri Stephanie Bridgett.
“Kegagalan mereka adalah kecuaian jenayah, menyebabkan kematian empat individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.”
PG&E antara syarikat bekalan elektrik terbesar di California, dan bertanggungjawab terhadap infrastruktur elektrik di negeri itu.
Ia termasuk memastikan pokok berada jauh dari laluan paip elektrik, terutama ketika negeri itu berdepan musim kemarau yang panjang, menyebabkan hutan kering dan terdedah kepada kebakaran hutan.
Syarikat itu semalam menafikan lalai hingga menyebabkan kebakaran itu.
PG&E sebelum ini didapati bersalah menyebabkan kebakaran pada 2018, antara insiden kebakaran terbaru yang paling teruk dalam sejarah California.
Kebakaran itu menyebabkan sebuah bandar kecil, Paradise hilang daripada peta dan 86 terbunuh. – AFP, 25 September, 2021.
Komen