POLIS China menahan dua eksekutif kanan syarikat pengangkutan dan logistik HNA, yang dibebani hutang kerana disyaki terbabit dengan jenayah, ketika kerajaan melakukan tindakan keras terhadap sektor korporat negara itu.
Syarikat pengangkutan dan logistik HNA Group dalam satu kenyataan berkata pengerusinya Chen Feng dan ketua pegawai eksekutif, Tan Xiangdong ditahan polis di ibu pejabat syarikat itu di Pulau Hainan, selatan China.
“Tindakan terhadap Feng dan Xiangdong selaras dengan undang-undang kerana disyaki melakukan perbuatan menyalahi undang-undang,” kata kumpulan itu tanpa menjelaskan jenayah yang disyaki.
Ia menambah operasi syarikat tetap stabil dan belum terjejas.
Kumpulan itu yang memiliki Hainan Airlines, satu daripada syarikat penerbangan terbesar di China, yang juga konglomerat penerbangan swasta terbesar di negara itu, memfailkan notis kebankrapan pada Januari dan sedang dalam proses penyusunan semula yang diawasi kerajaan, setelah bergelut menyelesaikan krisis aliran tunai.
Feng mengasaskan Hainan Airlines pada 1993, mengembangkan perniagaan daripada sebuah syarikat penerbangan serantau sehingga menjadi syarikat besar.
HNA sebelumnya memegang saham dalam kumpulan hotel Hilton dan Deutsche Bank, dan ada pelaburan merangkumi sektor penerbangan, pelancongan, hartanah dan perkhidmatan kewangan sebagai sebahagian daripada perolehannya.
Pada 2017, kerajaan menghentikan perkembangan global HNA yang agresif, dan meminta memberi tumpuan kepada penerbangan dan pelancongan.
Dalam kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata Eksekutif HNA Gu Gang yang bertanggungjawab dalam proses penstrukturan semula firma itu, mengumumkan berita penahanan berkenaan dalam satu perjumpaan syarikat yang dihadiri lebih 2,700 kakitangan.
Dalam ucapannya Gang menekankan mengenai keperluan pengawasan pihak berkuasa yang lebih luas ke atas kumpulan itu. – AFP, 25 September, 2021.
Komen