PRESIDEN Palestin Mahmud Abbas memberi tempoh setahun kepada Israel untuk keluar dari wilayah yang diceroboh atau tidak akan mengiktiraf negara Yahudi berdasarkan sempadan sebelum 1967.
Dalam ucapan secara maya kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Abbas meminta Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengadakan persidangan damai antarabangsa.
Tetapi seiring dengan permintaan itu, beliau juga mengeluarkan tuntutan akhir.
“Kita harus menyatakan Israel, ada tempoh setahun untuk keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada 1967, termasuk Baitulmaqdis Timur,” katanya.
Abbas berkata rakyat Palestin sedia bekerja sepanjang tahun untuk menyelesaikan status akhir negara Israel dan Palestin selaras dengan resolusi PBB.
“Tetapi jika ini tidak tercapai, mengapa mempertahankan iktiraf Israel berdasarkan sempadan 1967?” katanya.
Abbas berkata rakyat Palestin juga akan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai masalah keabsahan pendudukan negara Palestin.
Proses damai untuk mencapai penyelesaian dua negara antara di Timur Tengah menemui jalan buntu selama bertahun-tahun kerana Israel menolak tuntutan pemimpin Palestin.
Bagaimanapun, Duta Israel ke PBB Gilad Erdan berkata kenyataan Abbas itu sekali lagi membuktikan beliau tidak lagi relevan. – AFP, 25 September, 2021.
Komen