HAKIM di sebuah mahkamah di Kanada semalam menamatkan prosiding ekstradisi dengan membebaskan Ketua Pegawai Kewangan Huawei Meng Wanzhou selepas memerintahkan syarat jaminan terhadapnya dibatalkan, sekali gus mengakhiri saga perundangan selama hampir tiga tahun.
Ketua Hakim Bersekutu Mahkamah Agung British Columbia, Heather Holmes membuat keputusan itu selepas Wanzhou mencapai perjanjian pendakwaan yang ditangguhkan dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mengelakkan tuduhan penipuan.
“Saya menandatangani perintah pembebasan,” kata Holmes pada akhir prosiding singkat di mana peguam Kanada yang bertindak bagi pihak AS meminta penangguhan prosiding dan penghapusan syarat jaminan.
Wanzhou dikenakan tahanan rumah hampir tiga tahun di Vancouver ketika mencabar perintah mengekstradisi ke AS untuk menghadapi tuduhan penipuan berkaitan penjualan peralatan oleh anak syarikat Huawei di Iran kerana melanggar sekatan.
Di luar bangunan Mahkamah Agung British Columbia Vancouver, Wanzhou mengucapkan terima kasih kepada hakim, penyokongnya, pegawai China dan Kanada kerana menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Selama tiga tahun terakhir, hidup saya berubah sepenuhnya. Ia masa yang amat sukar bagi saya sebagai ibu, isteri dan eksekutif syarikat.
“Saya percaya setiap kesusahan pasti akan berakhir. Ini benar-benar pengalaman yang tidak ternilai dalam hidup saya,” katanya dalam bahasa Inggeris.
Sementara itu, Jabatan Keadilan Kanada dalam kenyataannya mengesahkan Wanzhou kini bebas untuk meninggalkan Kanada. – AFP, 25 September, 2021.
Komen